Home » Citra Yadim » Mesyuarat, Muzakarah MABIMS buka gelanggang MUAT 2019

Mesyuarat, Muzakarah MABIMS buka gelanggang MUAT 2019

SEPANG – Multaqa Ulama Asia Tenggara membuka tirainya hari ini (18 November) dengan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bidang Kerjasama 6: “Memperluas Peranan MABIMS Ke Dunia Luar”.

Selain pegawai mewakili negara ahli MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura), wakil wakil agensi berkaitan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Haji dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), turut hadir ke mesyuarat selama satu setengah jam itu.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz mempengerusikan mesyuarat ini.

Antara wakil negara yang hadir ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah Negara Brunei, Yang Mulia Haji Rajid Haji Mohd Salleh, Wakil Sekretaris Jenderal Majelis Ulama Indonesia, Yang Terhormat Bapak Haji Muhamad Zaitun Rasmin, Kepala Seksi Pengembangan Regulasi dan Metode Dakwah, Kementerian Agama Indonesia, Yang Terhormat Bapak Haji Subhan Nur Mahmud, Eksekutif Direktor Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) Majlis Ugama Islam Singapura, Yang Berbahagia Tuan Haji Zainal Abidin Ibrahim dan Pengurus Kanan RLAF, Tuan Muhamad Izhar Muhamed Ruslan.

Selain Nik Omar, Malaysia juga diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM,Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Luar JAKIM, Husairy Sapiei.

Selesai mesyuarat berkenaan, MUAT 2019 diteruskan dengan Muzakarah Memperluas Peranan MABIMS Ke Dunia Luar. Hampir 50 orang wakil dari tujuh negara Asia Tenggara menyertai muzakarah ini. Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dato’ Paimuzi Yahya turut hadir.

Antara yang dibincangkan mengenai tajuk itu ialah membuka keahlian organisasi ini kepada semua negara di Asia Tenggara termasuk yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam.

Turut disentuh ialah kaedah bagi menarik minat negara negara tersebut yang masih belum menjadi ahli untuk menyertai MABIMS. Contohnya termasuklah menerusi sikap prihatin menghulurkan bantuan dan sebagainya.

MABIMS juga dicadangkan untuk memberi perhatian khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan untuk umat Islam di Thailand, Vietnam dan Kemboja yang memerlukan bantuan.

Mesyuarat turut menggesa supaya semua perbincangan dalam muzakarah itu dengan segera direalisasikan agar peranan MABIMS benar benar berkesan.

Majlis kemudiannya bersambung pada sebelah malam dengan jamuan makan malam kepada semua delegasi negara negara Asia Tenggara yang hadir.

Ia diserikan dengan persembahan kesenian kebudayaan oleh artis nasyid terkemuka, Mu’adz Dzulkefly. Selesai makan malam, majlis diteruskan dengan sesi percambahan ilmiah santai yang membicarakan mengenai Islam dan kesenian.

Ahli Jawatankuasa Nadwah Ulama dan Ilmuwan Malaysia, Drs. Maulana Wan Helmi Wan Mohamad, Duta Rahmah, Ustaz Zul Ramli M.Razali, serta Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah, Dr. Hafidzah Mustakim merupakan panelis bagi sesi ini. Pengacara terkenal, Amin Idris pula bertindak selaku moderator.

MUAT 2019 dianjurkan YADIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ia merupakan mukadimah kepada penganjuran program yang lebih besar, Multaqa Ulama Sedunia yang dijadualkan pada September tahun depan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *