PUTRAJAYA – Pengiktirafan sijil pengajian pondok, cadangan Dasar Pondok Negara serta kebajikan pelajar menjadi antara agenda yang dibincangkan YADIM bersama pelbagai agensi dan tokoh bagi mengangkat peranan institusi berkenaan selaras dengan keperluan semasa.
Perkara itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Sekretariat Pondok MADANI Bil. 1/2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat YADIM di Putrajaya pada 6 Ogos.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom yang dihadiri seramai 32 orang ahli mesyuarat, termasuk empat wakil Ahli Syura Nasional Pondok MADANI iaitu Syaeikh Wazir Che Awang dari Kelantan, Syaikh Jamil Sadaqi al-Jarumi dari Kedah, Baba Zulkarnain dari Kelantan dan Baba Rakim dari Terengganu.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Latihan dan Pengkaderan, Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin, serta Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan, Haji Mahadi Awang.
Mesyuarat itu turut disertai wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dari seluruh negara, mencerminkan kesediaan pelbagai pihak untuk bersama-sama menggerakkan agenda pembangunan institusi pondok.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha menaik taraf sijil tamat pengajian pondok supaya mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi dan setanding dengan kelayakan pengajian tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada para pelajarnya.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan pengenalan Dasar Pondok Negara sebagai panduan bagi menyelaras hala tuju institusi pondok di seluruh negara. Dasar ini dijangka menjadi rujukan dalam aspek pendidikan, pengurusan, pembangunan serta kelangsungan institusi pondok pada masa hadapan.
Kebajikan serta keadaan fizikal institusi pondok turut menjadi perhatian apabila mesyuarat mencadangkan bantuan disalurkan segera kepada pondok yang memerlukan bagi kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan. Langkah ini diharap dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga pondok.
Dalam masa yang sama, penyelarasan maklumat serta data institusi pondok di seluruh negara turut dibincangkan dengan kerjasama JAIN dan MAIN. Langkah ini diharap dapat mewujudkan pangkalan data yang lebih tersusun dan terkini bagi memudahkan perancangan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan institusi pondok.
Pada masa yang sama, mesyuarat turut mencadangkan pelaksanaan kursus pengurusan dan kompetensi yang meliputi aspek pentadbiran, kewangan serta bidang-bidang berkaitan agar pengurusan pondok dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
Kesepakatan yang dicapai menerusi mesyuarat ini menjadi langkah awal ke arah penyelarasan pembangunan institusi pondok secara lebih menyeluruh. Melalui kerjasama erat antara YADIM, agensi berkaitan dan para masyaikh, institusi pondok diharap terus berkembang sebagai wadah pendidikan Islam yang kekal relevan serta memberi manfaat kepada masyarakat.



KOMEN