Home » Citra Yadim » Modul SMILED 2.0: Integrasikan Kesihatan Mental, Psikospiritual Islam, Komunikasi Dakwah

Modul SMILED 2.0: Integrasikan Kesihatan Mental, Psikospiritual Islam, Komunikasi Dakwah

PUTRAJAYA – Pusat Pengurusan Penyelidikan YADIM telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Modul SMILED 2.0 yang diadakan di ibu pejabat badan dakwah ini di Putrajaya pada 3 Julai.

Bengkel ini merupakan komitmen berterusan YADIM dalam memperkasa pembangunan modul dakwah yang lebih relevan, holistik dan responsif terhadap cabaran semasa masyarakat.

Modul SMILED 2.0 memberi penekanan kepada pendekatan dakwah kontemporari yang mengintegrasikan elemen kesihatan mental, psikospiritual Islam serta komunikasi dakwah berasaskan hikmah dan rahmah.

Bengkel ini melibatkan para pegawai daripada YADIM iaitu Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan YADIM, Dr. Masitah Esa, bersama pegawai beliau, Daie Muda YADIM Siti Aishah Abdul Rahmat Puvarasan, Puan Nurul Wahaidah A. Wahab, Daie Muda YADIM Hafiy Mu’izzuddin Mustakim, serta pelajar latihan industri, Cik Nur Izzatul Balqis Abdul Karim.

Ia dijayakan dengan penglibatan barisan pakar penyelidik berpengalaman seperti Datin Paduka Prof. Dr. Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, Profesor Dr. Che Zarrina Sa’ari dan Dr. Mohd Syukri Zainal Abidin dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Ratna Roshida Ab Razak (Universiti Putra Malaysia), Dr. Saleha Idris (Universiti Sains Islam Malaysia) serta Ustazah Suhaizam Sulaiman wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sepanjang bengkel berlangsung, para panel dan peserta membincangkan penyediaan serta penambahbaikan kandungan Modul SMILED 2.0 yang memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran komunikasi berempati, pendekatan dakwah yang menyembuhkan jiwa, serta pengurusan kesejahteraan emosi para da’i dalam mendepani realiti masyarakat masa kini.

Pembangunan modul ini diharapkan dapat melahirkan para pendakwah yang bukan sahaja mantap dari sudut ilmu, malah berkeupayaan untuk mendengar, memahami dan menyantuni masyarakat dengan lebih berkesan. Mereka juga akan berperanan sebagai Fasilitator SMILED 1.0 dan SMILED 2.0, sekali gus memperluaskan pelaksanaan modul ini kepada masyarakat di lapangan.

Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem dakwah negara yang lebih inklusif, berkesan dan mampu menyentuh hati masyarakat, selaras dengan aspirasi YADIM dalam memperkasakan dakwah berteraskan hikmah, rahmah dan kesejahteraan insan.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *