Dalam hiruk-pikuk perbahasan dasar negara, ketegangan geopolitik dan cabaran ekonomi, kita sering terlupa bahawa kekuatan Malaysia tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan atau strategi diplomasi. Ia turut berakar pada sesuatu yang lebih halus tetapi lebih mendasar, iaitu nilai kemanusiaan yang hidup dan bernafas dalam jiwa rakyatnya.
Dalam kesibukan jadual rasmi dan pergerakan pimpinan negara, sering terselit momen-momen sederhana yang sarat dengan makna, khususnya pertemuan dan interaksi dengan rakyat biasa, terutama dalam kalangan anak-anak dan pelajar.
Dalam salah satu peristiwa yang mengesankan, sebelum berangkat pulang daripada lawatan rasmi sehari ke Terengganu, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempat menyantuni adik Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja, yang teruja dan tanpa ragu menghulurkan duit raya masing-masing bernilai RM2 dan RM5 kepada beliau.
Dalam suasana yang ringkas itu, terserlah keikhlasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Tiada protokol melainkan pagar lapangan terbang sebagai batasan yang tidak menghalang keikhlasan, tanpa isyarat kepentingan, sekadar hati yang memberi dan jiwa yang menerima dalam keadaan paling jujur dan mengesankan.
Mungkin bagi sesetengah pihak, ia hanyalah satu peristiwa kecil dan terpencil yang berlalu tanpa kesan. Namun bagi mereka yang melihat dengan hati nurani yang jernih, detik itu membawa makna yang jauh lebih besar. Ia adalah gambaran tulus tentang fitrah manusia yang belum dicemari kepentingan, tidak dipengaruhi persepsi, dan bebas daripada segala pertimbangan politik.
Anak-anak ini tidak memahami hierarki kuasa, tidak terikat dengan tafsiran politik, dan tidak digerakkan oleh agenda tersembunyi. Mereka melihat sosok manusia. Pada pandangan mereka, barangkali seorang insan yang dianggap seperti datuk yang masih gigih berkhidmat untuk negara. Dalam kesederhanaan pandangan itu, tersingkap satu hakikat bahawa di sebalik jawatan dan gelaran, kepimpinan tetap berakar pada sifat insani dan manusiawi.
Dalam dunia politik yang sering dibentuk oleh strategi dan persepsi, tindakan spontan ini hadir sebagai satu anomali yang menyegarkan. Ia jujur, ia tulus, dan justeru itu ia menyentuh hati ramai manusia. Ia menjadi cermin yang memantulkan kembali nilai-nilai asas yang kadangkala terpinggir dalam kesibukan wacana dunia.
Lebih daripada itu, kita juga menyaksikan satu dimensi kepimpinan yang lebih dekat dan membumi apabila YAB Perdana Menteri turut meluangkan masa membaca, meneliti dan memberikan apresiasi terhadap kad ucapan serta hantaran Aidilfitri daripada para pelajar sekolah di seluruh negara. Tindakan ini bukan sekadar simbolik atau gimik politik, tetapi memperlihatkan kesediaan seorang pemimpin untuk benar-benar mendengar, menghargai dan memberi makna kepada suara generasi muda.
Apabila tulisan tangan seorang pelajar diberi perhatian oleh seorang pemimpin negara, ia menanam benih keyakinan dalam jiwa mereka bahawa suara mereka penting, bahawa karya mereka dibaca,diteliti dan dihargai, serta sumbangan mereka adalah sebahagian daripada pembinaan naratif negara bangsa ini.
Lebih daripada itu, terdapat satu lagi dimensi yang wajar diberikan perhatian. Dalam beberapa kesempatan rasmi di Seri Perdana Putrajaya, para pelajar sekolah turut diberi peluang untuk hadir dan menyaksikan sendiri kunjungan tetamu negara. Dalam ruang yang lazimnya eksklusif dan sarat dengan protokol diplomatik, kehadiran anak-anak ini membawa makna yang lebih mendalam. Mereka bukan sekadar pemerhati, tetapi saksi hidup kepada perjalanan hubungan diplomatik negara. Lebih penting, mereka diberi peluang untuk berinteraksi, melihat dari dekat pemimpin dunia, dan merasai sendiri denyut nadi diplomasi yang selama ini hanya dibaca dalam buku teks, akhbar mahupun siaran maya.
Bagi seorang pelajar, pengalaman ini bukan sekadar lawatan biasa. Ia adalah detik yang mampu membentuk imaginasi, memperluas horizon pemikiran, dan menanam keyakinan bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada masa depan negara di pentas global. Dalam keterbukaan ini, terserlah satu pendekatan kepimpinan yang tidak memisahkan generasi muda daripada realiti kenegaraan, sebaliknya mengangkat mereka sebagai pewaris yang perlu didedahkan, difahamkan dan diinspirasikan sejak awal.
Dimensi ini menjadi lebih hidup apabila kita melihat rutin Perdana Menteri yang melazimi solat Jumaat di masjid-masjid terpilih. Ia bukan sahaja satu kewajipan yang ditunaikan, tetapi menjadi antara ruang yang lebih santai dan tidak terlalu terikat dengan protokol rasmi, yang membuka peluang pertemuan lebih dekat dengan masyarakat. Lebih bermakna apabila kesempatan ini dimanfaatkan untuk berinteraksi secara langsung dengan para pelajar dan anak-anak yang menunggu dengan penuh harapan.
Bagi seorang kanak-kanak, mungkin ia sekadar satu pertemuan singkat. Sekadar bersalaman ataupun mendapatkan tandatangan. Namun hakikatnya, pengalaman kecil seperti ini akan terpahat dalam ingatan mereka hingga dewasa. Ia membentuk persepsi tentang kepimpinan, tentang nilai merendah diri, dan tentang hubungan antara rakyat dan pemimpin. Tidak mustahil, anak-anak ini suatu hari nanti akan membawa nilai yang sama dalam kehidupan mereka, bahkan mencontohi teladan tersebut dalam peranan mereka sendiri kelak.
Lebih menarik, daripada interaksi kecil inilah lahirnya kesedaran terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat. Lihat sahaja bagaimana pertemuan-pertemuan sebegini membuka ruang kepada pembaikan kemudahan asas seperti tandas sekolah di seluruh negara, sesuatu yang mungkin kelihatan kecil, tetapi menyentuh maruah, keselesaan dan kesejahteraan pelajar.
Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar kepimpinan yang berakar pada karamah insaniah. Keupayaan untuk melihat yang kecil sebagai sesuatu yang besar, untuk mendengar perkara yang sering dianggap remeh sebagai sesuatu yang penting, dan untuk bertindak berdasarkan sentuhan langsung dengan realiti rakyat.
Dalam tradisi Islam, pemberian adalah manifestasi kemuliaan jiwa. Sabda baginda Rasulullah SAW, “Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.” Nilai ini seiring dengan warisan budaya Melayu yang menjunjung tinggi budi bahasa, adab dan santun dalam setiap interaksi. Dalam budaya kita, memberi bukan sekadar perbuatan, tetapi lambang hati yang luhur, tanda hormat, dan cerminan akhlak.
Budaya Melayu mengajarkan bahawa budi itu bahasa jiwa. Justeru, kehalusan tutur kata, kesopanan tingkah laku, serta keikhlasan dalam memberi dan menerima adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang beradab. Peristiwa kecil ini seolah-olah menghidupkan kembali nilai tersebut dalam bentuk yang paling tulen.
Namun peristiwa ini juga mengajar kita bahawa dalam kepimpinan, menerima adalah satu amanah. Menerima dengan penuh keinsafan akan tanggungjawab, menerima teguran, usul dan cadangan, menerima doa rakyat dengan penuh pengharapan, dan menerima kasih dengan penuh kerendahan hati.
Momen anak-anak memberi duit raya, perhatian terhadap kad ucapan pelajar, pengalaman mereka menyaksikan denyut diplomasi negara di Seri Perdana, serta interaksi selepas solat Jumaat, semuanya bertemu dalam satu titik yang sama iaitu keikhlasan. Satu memberi dengan jiwa yang bersih, satu menerima dengan hati yang terbuka, dan selebihnya membina jambatan pengalaman yang menghubungkan generasi muda dengan makna sebenar kepimpinan.
Kelihatan kecil bagi sesetengah kita, namun amat besar nilainya bagi yang mengerti. Ia mengingatkan bahawa dalam dunia yang semakin kompleks dan sering terpolarisasi, masih wujud ruang untuk kejujuran, empati dan hubungan manusiawi yang tulen.
Dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kepercayaan, peristiwa-peristiwa seperti ini wajar dilihat sebagai manifestasi hidup kepada gagasan tersebut. Ia bukan sekadar simbol, tetapi cerminan budaya yang perlu dipupuk, dibudayakan, dilazimi dan diperluas.
Justeru, harapan kita agar ruang keakraban ini terus dipelihara. Agar kepimpinan negara kekal dekat di hati rakyat bukan sahaja melalui dasar yang adil dan berkesan, tetapi juga melalui sentuhan kemanusiaan yang menghubungkan jiwa dengan jiwa. Bukan hanya pada sosok bergelar Perdana Menteri, tetapi kepada semua yang memikul amanah kepimpinan umat.
Kerana pada akhirnya, kekuatan sesebuah bangsa tidak hanya diukur pada keutuhan sistemnya, tetapi pada sejauh mana nilai kemanusiaan itu terus hidup, diwarisi dan dimuliakan oleh generasi demi generasi.
Oleh: Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Presiden ABIM



KOMEN