Home » Citra Yadim » Mualaf Berselawat 2026: Inisiatif Santuni Saudara Baharu

Mualaf Berselawat 2026: Inisiatif Santuni Saudara Baharu

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar berselawat dan menimba ilmu, Mualaf Berselawat 2026 menjadi ruang untuk saudara-saudara baru berkumpul, mengeratkan silaturahim dan saling menguatkan dalam perjalanan mengenali serta menghayati Islam pada 11 September.

Program yang julung-julung kali diadakan di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) itu dianjurkan YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama pusat berkenaan, dengan penyertaan kira-kira 30 orang saudara baru daripada pelbagai latar belakang.

Program dimulakan dengan bacaan Qasidah Burdah yang dipimpin Ustaz Haakem Azman dari OOBB, sebelum diteruskan dengan tazkirah oleh Daie Muda YADIM Al Fateh yang menyentuh keindahan akhlak Rasulullah SAW serta mengajak para mualaf agar terus mensyukuri hidayah Allah SWT dengan memperdalam pengetahuan dan kefahaman tentang Islam.

Dalam ucapannya, Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Puan Siti Zaiton Bachok, turut berharap hubungan erat yang terjalin dalam kalangan saudara baru dapat terus diperkukuhkan sehingga menjadi sebuah keluarga besar yang saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain.

Pada kesempatan sama, YADIM turut menyampaikan kira-kira 30 kotak bantuan makanan asas kepada para mualaf yang hadir sebagai tanda prihatin dan sokongan dalam membantu meringankan urusan seharian mereka.

Turut hadir Pengurus Outreach Oasis Bukit Bintang, Encik Iqbal Daswarman.

Lebih daripada sebuah program, Mualaf Berselawat menjadi ruang untuk saudara baru merasai bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan sebagai seorang Muslim.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *