Home » Langit Terbuka » Mufti Perak semakin pulih

Mufti Perak semakin pulih

Mufti Perak dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, selepas diserang angin ahmar 23 Ogos lalu. - Foto Wabillah.com

Ipoh – Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini, sudah semakin pulih dan turut dipindahkan ke wad biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

Menurutnya, Harussani kini sedang dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir.

“Keadaannya bertambah baik dan beliau sudah boleh respon serta faham apa yang kita cakap tetapi masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita.

“Sebelah bahagian badannya sudah boleh digerakkan, beliau turut dipindahkan ke wad biasa beberapa hari lepas,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020 di Dewan Saidina Omar Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).

Mohd Akmal berkata, lawatan atau ziarah sudah dibenarkan namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak hospital.

“Jangkaan bila beliau boleh daftar keluar dari hospital masih belum diketahui, sudah boleh melawat (Mufti) tetapi kena patuh SOP dan kalau boleh bagi peluang kepada Mufti untuk rehat secukupnya,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Harussani dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak, selepas mengalami serangan angin ahmar pada 23 Ogos lalu.

Keadaan Harussani sebelum ini lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir dilaporkan berkata, Harussani sudah mula menunjukkan respon positif selepas dirawat di ICU dan diberi rawatan strok untuk mengembalikan semula perjalanan darahnya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *