Home » Langit Terbuka » Mufti setuju wajibkan vaksinasi, gesa agamawan henti beri pandangan berbeza

Mufti setuju wajibkan vaksinasi, gesa agamawan henti beri pandangan berbeza

Mufti Kelantan menasihatkan golongan cerdik pandai dalam bidang agama supaya berhenti memberi pandangan yang mengelirukan sehingga masyarakat menolak untuk divaksin. - Foto mStar

PETALING JAYA – Mufti Kelantan, Datuk Haji Mohamad Shukri Mohamad bersetuju langkah kerajaan mewajibkan vaksinasi jika bilangan pendaftaran tidak mencapai sasaran imuniti kelompok, termasuk mengambil tindakan kepada kumpulan antivaksin.

Mohamad Shukti berkata, dalam keadaan darurat akibat penularan wabak Covid-19 kerajaan berhak menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan yang difikirkan wajar untuk kemaslahatan rakyat.

“Kalau dalam Islam sendiri, kerajaan ada bidang kuasa memutuskan apa saja demi kemaslahatan awam dan rakyat. Kalau sebelum ini sudah diberi ruang untuk tampil secara sukarela namun sasaran tidak dicapai, wajar untuk kerajaan mewajibkannya.

“Kerajaan juga boleh mengunakan kuasa mereka untuk menghukum. Seperti sekarang, jika mana-mana individu melanggar SOP, mereka akan dikompaun,” katanya kepada FMT pada 4 Jun.

Shukri berkata, ketika menghadiri mesyuarat mufti seluruh negara bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, beliau mencadangkan pengambilan vaksin Covid-19 diwajibkan kepada semua melainkan kes tertentu yang tidak membolehkan mereka di beri vaksin atas nasihat pakar.

Bagi memastikan seramai mungkin rakyat diberi vaksin, Shukri turut menasihatkan golongan cerdik pandai dalam bidang agama supaya berhenti memberi pandangan yang mengelirukan sehingga masyarakat menolak untuk divaksin.

“Berbeza pendapat dibenarkan dalam Islam, tetapi dalam keadaan darurat, kerajaan sudah memutuskan maka semua perlu patuh.

“Kepada masyarakat, sila beri kerjasama dan sahut seruan kerajaan. Ambil vaksin kerana ia melibatkan kepentingan bersama. Tengoklah sekarang, aktiviti agama pun tidak dibenarkan kerana Covid-19.

“Ekonomi terjejas, sekolah, universiti, terpaksa ditutup, pengajian ditangguh, ini semua harus difikir semasaknya oleh mereka yang nak pertikai pengambilan vaksin. Britain sekarang sudah kembali seperti sedia kala kerana semua mengambil vaksin,” katanya.

Katanya, isu pengambilan vaksin ini bukan sahaja dipersetujui mufti Malaysia, sebaliknya dipersetujui ulama di seluruh dunia yang sependapat bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah penting dan harus bagi mencegah wabak itu.

“Saya amat kagum dan terharu bila mufti di seluruh dunia membuat keputusan yang sama, walaupun berbeza fahaman dan mazhab,” katanya. – FMT

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *