Home » Langit Terbuka » MUIP sedia RM10 juta sumbangan Ramadan

MUIP sedia RM10 juta sumbangan Ramadan

MUIP akan sentiasa menjaga kebajikan golongan yang memerlukan di Pahang. - Foto MUIP

PEKAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan kira-kira RM10 juta untuk diagihkan bagi membantu golongan memerlukan termasuk sumbangan Ihya Ramadan bermula minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata daripada jumlah itu, RM4.6 juta disediakan untuk bantuan menyambut hari raya kepada 11,151 penerima dalam kalangan fakir dan miskin.

Beliau berkata, RM1.8 juta lagi disediakan untuk bantuan sama kepada 10,501 golongan mualaf di negeri ini.

“Bagi sumbangan Ihya Ramadan masjid kali ini, MUIP menyediakan peruntukan keseluruhan RM3.5 juta untuk diagihkan kepada masjid dan surau seluruh negeri dengan jumlah sumbangan mengikut kategori.

“RM50,000 akan disumbangkan kepada Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, RM260,000 kepada 26 masjid daerah, RM2.7 juta untuk diagihkan kepada 553 masjid kariah dan RM430,000 kepada 86 surau Jumaat,” katanya.

Ahmad Hairi berkata, tahun lalu, MUIP memperuntukkan RM6.6 juta untuk bantuan menyambut hari raya kepada fakir miskin dan mualaf membabitkan seramai 34,115 penerima.

“Disebabkan Ramadan tahun lalu negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada peruntukkan disediakan untuk sumbangan Ihya Ramadan masjid.

“Namun pada 2019 sebanyak RM3.3 juta disediakan bagi tujuan itu membabitkan 632 masjid dan surau seluruh negeri,” katanya.

Katanya, MUIP meminta jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan pada sepanjang Ramadan bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *