KUALA TERENGGANU – Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Terengganu Tahun 2026 telah berlangsung pada 5 Julai di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Kuala Terengganu.
Ia menghimpunkan kira-kira 100 ulama, pendakwah, asatizah dan pemimpin institusi dakwah seluruh negara sebagai wadah memperkukuh dakwah berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Program yang bertemakan “Memperkasa Akidah, Mengukuhkan Ukhuwah: Menelusuri Jejak Salafussoleh” merupakan hasil kerjasama YADIM Negeri Terengganu bersama Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur.
Ahli Pemegang Amanah YADIM, Ustaz (Dr.) Bashir Mohamed Al-Azhari telah menyempurnakan perasmian pembukaan program ini manakala perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali.
Ucaptama bertajuk “Memperkasa Akidah, Mengukuhkan Ukhuwah: Menelusuri Jejak Salafussoleh” telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yang Mulia Dr. Engku Ibrahim Engku Wok Zin.
Perbentangan pertama kemudiannya disampaikan oleh Penasihat Yayasan Ar Riayah, Yang Mulia Sahibul Fadhilah Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid menerusi tajuk “Membina Generasi Rabbani Berteraskan Akidah dan Ukhuwah Salafussoleh”. Seterusnya, Ustaz (Dr.) Bashir telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Cabaran Akidah Generasi Digital: Menelusuri Solusi Salafussoleh”.
Turut hadir ialah Sahibus Samahah Mufti Negeri Terengganu, Profesor Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar; Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Dr. Haji Ahmad Fadluldin Mohamad, Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur, Tuan Guru Ku Syed Suhaimi Syed Hassan Al-Idrus.
Penganjuran muzakarah ini diharap memperkukuh akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengukuhkan ukhuwah umat Islam serta memperkasa gerakan dakwah bersepadu melahirkan masyarakat berpegang teguh kepada Islam yang sahih.



KOMEN