KULAI – Golongan pelajar selaku pelapis pimpinan negara terus didekati YADIM menerusi penganjuran Program Nadwah Kepemimpinan Islam Generasi MADANI (NKIGM) Peringkat Sekolah Rendah Zon 3 Negeri Johor pada 24 hingga 26 Julai .
Berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara 2, Kulai, program ini bertemakan “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan”, hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan YADIM, yang menghimpunkan 202 murid sekolah rendah dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang memupuk sahsiah, kepimpinan dan jati diri melalui pendekatan pendidikan yang menyeluruh merangkumi aspek rohani, emosi dan jasmani, dalam usaha membentuk kepimpinan Islam yang berilmu, berakhlak serta menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Md. Zuraini Mashrom, yang turut menyampaikan sijil dan penghargaan kepada para peserta, jurulatih serta urus setia.
Kejayaan program ini turut didukung oleh penglibatan Rakan Siswa YADIM (RSY) yang berperanan sebagai fasilitator sepanjang program berlangsung.
NKIGM akan diteruskan di sembilan zon lagi sehingga Oktober ini bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berintegriti, berwawasan dan berakhlak mulia demi masa depan negara.



KOMEN