HULU LANGAT – Program Training of Trainers Nadwah Kepemimpinan Islam Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan anjuran Bahagian Kepimpinan Muda YADIM telah berlangsung pada 10 hingga 12 April lalu.
Dijayakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia , ia menghimpunkan seramai 40 guru-guru Pendidikan Islam terpilih dari seluruh negara sebagai jurulatih kebangsaan.
Program ini turut melibatkan penyertaan seramai Ahli 20 Rakan Siswa YADIM dari seluruh Malaysia yang bakal berperanan sebagai fasilitator dalam pelaksanaan Nadwah Kepemimpinan Islam (NKI) Generasi MADANI di peringkat kebangsaan. Para peserta yang hadir merupakan wakil setiap negeri, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan kepimpinan Islam dalam kalangan generasi muda.
Sepanjang program berlangsung di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), Hulu Langat, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul latihan yang komprehensif dan berstruktur yang akan diguna pakai dalam pelaksanaan program NKI Generasi MADANI di sekolah-sekolah seluruh negara. Program ini dipimpin oleh barisan jurulatih dan dibantu oleh RSY selaku fasilitator.
Program Nadwah Kepemimpinan Islam Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan akan dilaksanakan bermula April hingga Oktober, merangkumi 10 siri keseluruhan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu lima siri bagi zon sekolah menengah dan lima siri lagi bagi zon sekolah rendah.
Majlis perasmian penutupan dimulakan dengan ucapan aluan Penolong Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Ustaz Muhammad Adib Asyraf Ahmad Kamarut, sebelum disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Md Zuraini Mashrom. Hadiri sama ialah Pengarah INDAH, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsudin.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan barisan jurulatih dan fasilitator yang berwibawa dan berintegriti dalam membimbing pelaksanaan Nadwah Kepemimpinan Islam Generasi MADANI, sekali gus memperkukuh sahsiah, jati diri serta kepimpinan pelajar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.



KOMEN