KUALA LUMPUR – Lebih 250 pelajar sekolah menengah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyertai Program Nadwah Kepimpinan Islam Generasi MADANI (NKIGM) Peringkat Kebangsaan Sekolah Menengah Zon 2 (W.P. Putrajaya) Tahun 2026 pada 25 hingga 27 September.
Program di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya, Presint 11, Putrajaya ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan YADIM dengan tema “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan”.
Ia menjadi platform membentuk kepimpinan Islam dalam kalangan generasi muda, selain menyemai nilai-nilai Malaysia MADANI.
Nadwah ini turut bertujuan membina pemimpin pelapis yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan, menerusi pendekatan pendidikan yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Kerjasama KPM, JPN, YADIM serta ejen dakwah Rakan Siswa YADIM (RSY) ini mencerminkan komitmen bersama dalam membentuk generasi muda yang seimbang dan berkualiti.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai (ADNI), Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Md Zuraini Mashrom, yang turut menyempurnakan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada peserta, fasilitator serta urus setia.
Program ini diharapkan dapat membentuk generasi pemimpin muda yang berintegriti, berwawasan dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan negara.



KOMEN