Home » Langit Terbuka » NGO gesa Asean kaji semula hubungan dengan Myanmar kerana tindas Rohingya

NGO gesa Asean kaji semula hubungan dengan Myanmar kerana tindas Rohingya

Penindasan terhadap etnik Rohingya berterusan meskipun banyak laporan mengenainya disiarkan. - Foto Reuters

PETALING JAYA – Sebuah kumpulan hak asasi Rohingya menggesa pemimpin Asean mengkaji semula hubungan mereka dengan Myanmar atas layanannya terhadap kumpulan minoriti, menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) turut mempersoalkan jika ia beretika untuk berdagang dengan “negara penghapusan etnik” kerana persekitaran rantau yang stabil adalah penting untuk kelestarian.

Presiden Merhrom, Zafar Abdul Ghani berkata Sidang Kemuncak Asean ke-35 yang bertemakan “Memajukan Perkongsian bagi Kelestarian”, bertentangan realiti di rantau ini.

“Bagaimana kita mahu memajukan perkongsian bagi kelestarian apabila penghapusan etnik Rohingya berterusan di Asean dan menjejaskan negara anggota Asean serta seluruh dunia?

“Tiada perubahan walaupun ribuan laporan disiarkan, ribuan pengakuan mangsa terselamat daripada penghapusan etnik direkodkan dan ribuan lawatan ke kem pelarian terbesar di dunia.

“Ia kekal sebagai kumpulan etnik paling ditindas di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rantau ini menjadi kurang sensitif terhadap kekejaman ke atas Rohingya dan penafian akan terus wujud sehingga penghapusan etnik itu berhenti.

Beliau menggesa kerajaan Thailand membebaskan pelarian Rohingya di kem tahanan dan penjara, serta menggesa Bangkok membenarkan mereka tinggal dan kerja di sana sehingga keganasan berakhir.

“Kami minta campur tangan pejabat rantau UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian) di Bangkok untuk melindungi hak mangsa terselamat daripada penghapusan etnik itu.

“Adalah jelas kita memerlukan kepimpinan moral untuk menghentikan penghapusan etnik ini dan mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran Asean serta seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau berkata, penghantaran pulang Rohingya ke Myanmar bukan penyelesaiannya dan organisasi antara kerajaan serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu gagal melindungi kumpulan etnik itu.

Myanmar menganggap etnik Rohingya Islam sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menempatkan puluhan ribu orang dalam kem di Rakhine barat sejak keganasan tercetus pada 2012. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *