SUNGAI PETANI – Program Nadwah Kepemimpinan Islam Generasi MADANI (NKIGM) Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 (Zon 4) yang berlangsung selama tiga hari di sini, melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas padat dengan pelbagai pengisian rohani dan kepemimpinan.
Program yang bertemakan “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan” ini dihadiri seramai 160 pelajar sekolah rendah dari negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu, bermula pada 30 Oktober hingga 1 November lalu.
Penganjuran program ini merupakan usaha murni Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) YADIM.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai, Bahagian Pendidikan Islam KPM, Dr. Md Zuraini Mashrom.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Haji Mahir Mohamad; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Ustaz Mohamed Zamri Basir; serta Pegawai KEMUDA YADIM, Encik Abd Rahimin Sihat.
Dr. Md Zuraini dalam amanat perasmiannya mengingatkan para peserta agar membentuk diri sebagai pemimpin yang memiliki ciri Qawiyyun Amin iaitu kuat, amanah, dan berintegriti. Beliau turut menyeru generasi muda itu agar menjadi pemimpin berjiwa daie, berperibadi hasanah, serta sentiasa menyemai nilai-nilai Islam dalam setiap tindakan.
Melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, program ini diharap dapat menyemai nilai kepemimpinan Islam, memperkukuh jati diri, dan meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan adab sebagai asas pembentukan pemimpin masa hadapan.
Segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini diharap menjadi bekalan berharga buat para peserta untuk tampil sebagai pemimpin Muslim yang berilmu serta berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi negara melahirkan Generasi MADANI.



KOMEN