Home » Langit Terbuka » Pakistan mahu belajar daripada Malaysia

Pakistan mahu belajar daripada Malaysia

Perdana Menteri Pakistan berkata, beliau bersama delegasinya datang ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga seorang negarawan yang berjaya melakukan perubahan di Malaysia - Foto Capital TV

PUTRAJAYA – Pakistan menyatakan minat untuk belajar daripada Malaysia berhubung pelbagai perkara, khususnya dalam membangunkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, beliau bersama delegasinya datang ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga seorang negarawan yang berjaya melakukan perubahan di Malaysia.

“Kami sudah lama mengikuti perkembangan Malaysia. Kami mahu belajar daripada pengalaman Malaysia terutama dalam meningkatkan ekonomi negara dan pendapatan perkapita serta melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang media bersama Dr Mahathir selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di sini.

Imran berkata, beliau dan Dr Mahathir kini berkongsi keadaan yang sama iaitu mendapat kuasa selepas diberi mandat oleh rakyat berdasarkan pentas anti rasuah.

“Kami berdepan dengan jumlah hutang luar biasa dan kami ingin belajar daripada Malaysia bagaimana untuk mengatasi isu berkenaan,” katanya.

Dilaporkan, Pakistan kini sedang mendapatkan sokongan kewangan bagi meminimumkan kebergantungan negara itu terhadap pakej bantuan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Pakistan berdepan jurang kewangan bernilai AS$12 bilion (RM50.29 bilion) untuk tahun fiskal semasa.

Malah, kerajaan Pakistan berusaha meminimumkan jumlah dipinjam daripada IMF dengan mendapatkan pinjaman negara ‘mesra’ seperti Arab Saudi, China dan Malaysia ketika pihak berkuasa di sini percaya, peminjam global mungkin menyertakan syarat sukar.

Awal bulan ini, Imran Khan mengunjungi China, yang dilaporkan bersetuju memberi bantuan AS$6 bilion (RM25.14 bilion) kepada Pakistan.

Sementara itu, Imran Khan berkata Pakistan juga mempunyai potensi besar yang belum diteroka terutama dalam sektor pelancongan.

“Kami akan mempelajari daripada Malaysia bagaimana untuk memperkembangkan industri berkenaan termasuk membina kemudahan pusat peranginan,” katanya.

Selain itu, katanya, mesyuarat dua hala turut membincangkan mengenai peningkatan sektor perdagangan di antara kedua-dua negara.

Imran Khan pada masa sama, turut menjemput Dr Mahathir ke Pakistan sebagai tetamu utama pada 23 Mac tahun depan sempena sambutan hari kebangsaan negara berkenaan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *