SHAH ALAM – Buat julung kalinya, solat Jumaat akan diadakan di Parlimen sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027 bagi memudahkan urusan Ahli Parlimen beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah berkenaan membolehkan Ahli Yang Berhormat menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu meninggalkan kawasan Parlimen.
“Bagi memudahkan pergerakan Ahli Yang Berhormat, kita akan adakan solat Jumaat sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027.
“Saya menyarankan kepada Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam untuk sama-sama menunaikan solat Jumaat di Parlimen,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, pengisian keagamaan turut disediakan sepanjang persidangan Parlimen menerusi program Kuliah Tanwir Madani.
Menurutnya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan kuliah berkenaan pada setiap Khamis, bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
“Program ini akan diadakan setiap Khamis bermula 12 tengah hari sehingga jam 2 petang di Surau Blok Pentadbiran dan Ahli Parlimen.
“Oleh itu, kepada yang berkelapangan bolehlah hadir mendengar kuliah,” katanya.
Terdahulu, Profesor Adjung Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki telah menyampaikan Tazkirah Jumaat bertajuk “Keamanan Berteraskan Maqasid Syariah: Tunjang Kemakmuran Ekonomi Negara”.
Ia menyentuh tentang keamanan dan kestabilan negara sebagai asas penting dalam membina kemakmuran ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat. Berteraskan Maqasid Syariah, pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu menjadi panduan dalam membentuk masyarakat yang harmoni, sejahtera dan berdaya maju.
Solat Fardhu Jumaat seterusnya telah diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Haji Ahmad Fauwaz Fadzil.



KOMEN