BACHOK: Kerajaan menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan pasukan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menangani kes tipu badal haji bagi musim haji, tahun ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah itu bagi memastikan tiada mangsa yang terkandas akibat ditipu scammer.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan beberapa kali notis dan peringatan kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tawaran upah haji termasuk yang menawarkan harga yang murah.
“Setakat ini kami belum merekodkan sebarang kes tipu badal haji musim ini, namun pemantauan tetap dilaksanakan termasuk tawaran di laman sosial dan lapangan terbang (KLIA).
“Orang ramai juga perlu merujuk kepada pihak berautoriti seperti TH untuk mendapatkan keabsahan (kepastian) berkenaan tawaran pengurusan ibadah itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA) Kelantan, nama Kozee Kopi dan Pastri, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Abdul Khudus Mohd Naaim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohammad serta Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Arham Abdullah.
Zulkifli berkata, kenyataan turut dikeluarkan persatuan pelajar Malaysia di Arab Saudi bagi mengelakkan masyarakat keliru dan tertipu dengan pakej badal haji yang tidak wujud.
Sementara itu, beliau memuji usaha YAPEIM, UMK bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) dengan kerjasama Majlis Pemulihan Negeri Kelantan yang memberi peluang pekerjaan kepada 30 OKU wanita bekerja di kedai kek berkenaan.
Projek selama dua tahun itu dijalankan dengan penyelidikan UMK di bawah Prof Madya Dr Derweanna Bah Simpong bersama 13 ahli penyelidik membabitkan enam modul berkaitan penyediaan makanan.
sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1541466/pasukan-khas-pantau-klia-tangani-tipu-badal-haji



KOMEN