Home » Langit Terbuka » PBB sahkan penarikan balik penyertaan Malaysia dalam Statut Rom

PBB sahkan penarikan balik penyertaan Malaysia dalam Statut Rom

Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai Negara Pihak kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, jelas Setiausaha Agung PBB. - Foto Malaysian Update

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan penarikan balik penyertaan Malaysia ke Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa semalam.

Menurut Wisma Putra, penarikan balik penyertaan Malaysia ke triti tersebut berkuat kuasa pada 29 April lalu, iaitu tarikh kerajaan Malaysia mengemukakan surat penarikan balik penyertaan Malaysia ke statut berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB, selaku depositori bagi triti tersebut.

Jelasnya, makluman mengenai pengesahan tersebut telah dimuat naik di laman sesawang PBB pada awal pagi ini (waktu Malaysia).

“Sehubungan dengan ini, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai Negara Pihak kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai pengesahan ini boleh dilayari di laman sesawang United Nations Treaty Collection di https://treaties.un.org/doc/Publication/CN/2019/CN.185.2019-Eng.pdf,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan meminta Koordinator Residen PBB di Malaysia memberi penjelasan berhubung proses dan status terkini penarikan diri Malaysia daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menurut Wisma Putra, pengekalan Malaysia sebagai Negara Pihak kepada triti itu seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB adalah sangat mengecewakan walapun Malaysia telah mengemukakan surat penarikan diri.

Kerajaan telah mengemukakan surat penarikan diri Malaysia daripada menyertai Statut Rom kepada Setiausaha Agung PBB pada 29 April, selaku depositori bagi triti itu, setelah mengambil kira semua langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan proses penarikan diri, katanya.

Pada 5 April, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik balik penyertaannya dalam Statut Rom. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *