Home » Langit Terbuka » Pelajar terbaik PSRA Selangor peroleh 11A SPM

Pelajar terbaik PSRA Selangor peroleh 11A SPM

Danial Khan Syahiran Zairi ketika mengambil keputusan SPM beliau di SMA MAIWP - Foto Ihsan Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Bekas pelajar terbaik Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) Selangor 2017 mengulangi pencapaian cemerlang apabila memperoleh 11A dalam SPM 2022.

Danial Khan Syahiran Zairi, 18 dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan satu daripada antara 17 pelajar SPM peringkat Kuala Lumpur yang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menganggap kejayaan yang diperoleh adalah hasil sokongan daripada ibu bapa, guru serta rakan-rakan.

“Rahsia kejayaan ini bukan sekadar usaha tetapi faktor utama apabila doa daripada ibu bapa, guru-guru dan orang sekeliling saya ALLAH SWT makbulkan.

“Pada saya usaha itu tidak akan pernah mencukupi, yang penting mendapat keredaan dan keberkatan daripada ALLAH SWT. Itu yang perlu di ambil cakna dalam perjalanan hidup kita,” katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di SMA MAIWP Bandar Sri Permaisuri Cheras pada Khamis.

Dia mengakui tidak terkecuali berdepan cabaran seperti berkorban waktu tidur untuk ulang kaji namun bersyukur usahanya dibalas dengan kejayaan.

“Antara benda yang memberi motivasi kepada saya apabila melihat laporan tentang kejayaan orang, bagi saya jika mereka boleh kenapa saya tak boleh.

“Tiada yang mustahil dengan kuasa ALLAH SWT,” katanya yang merancang menyambung pengajian dalam bidang sains dan matematik.

Sementara itu bapanya, Zairi Hassim, 50, merakamkan penghargaan kepada barisan guru-guru yang membantu dalam kecemerlangan anaknya.

“Tugas memberi pendidikan ini adalah tanggungjawab bersama antara guru dan ibu bapa yang saling bekerjasama bagi membantu kecemerlangan anak.

“Pada saya jangan berkira soal duit, apa-apa keperluan berkaitan pendidikan sata sediakan bagi memudahkan anak-anak belajar,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rafidah Aman, 47 yang merupakan surirumah sepenuh masa mengakui berdepan cabaran besar dalam mendidik anak-anak.

“Anak-anak banyak kerenah dan kadangkala kita emosi pun tidak stabil namun kena sentiasa ingat anak merupakan amanah daripada ALLAH SWT.

“Saya amalkan ajar anak sebelum mereka masuk ke tadika lagi kerana saya tidak boleh serahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru-guru.

“Saya perlu pastikan mereka usaha sebaik mungkin dan apa juga keputusan yang diperoleh, kita reda,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *