Home » Langit Terbuka » Pelan damai Trump hanya tindas Palestin

Pelan damai Trump hanya tindas Palestin

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelan damai dinyatakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik kepada Palestin dan membuatkan lebih banyak bantahan daripada jutaan penduduk di seluruh dunia.

Perdana Menteri menegaskan, pelan damai itu hanya memberi lebih banyak kuasa kepada Israel dan pada masa sama, terus menindas penduduk Palestin.

Beliau berkata, perjanjian yang dibentuk AS dan Israel tanpa membabitkan rundingan dengan Palestin itu bersifat berat sebelah, selain dilakukan bagi menghentikan usaha membawa keadilan dan keamanan kepada penduduk berkepentingan.

Negara berkuasa seperti Amerika Syarikat yang banyak memperjuangkan mengenai keadilan dan prinsip ‘rule of law’ memilih untuk menghalalkan yang haram.

“Presiden Trump menghalalkan pendudukan Israel di Baitulmaqdis sebagai ‘deal of the century’ (pelan damai).

“Perjanjian ini tidak akan menjadikan Palestin negara berdaulat, sebaliknya hanya meningkatkan dominasi seperti aparteid terhadap jutaan orang Palestin.

“Kali terakhir ia berlaku ketika Jerman menduduki Danzig dan Sudetenland.

“Justeru, Malaysia melihat ia sama sekali tidak boleh diterima dan sangat tidak adil. Sungguh mengecewakan apabila selepas lebih tujuh dekad, hanya satu pihak iaitu Israel yang dilihat wujud terhadap ‘penyelesaian dua negara’ manakala rakyat Palestin masih berjuang untuk mendapat keadilan dan keamanan, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kali ketiga yang berlangsung dua hari sehingga 9 Februari di sini.

Liga Parlimen Al-Quds ialah gabungan ahli Parlimen seluruh dunia yang menyokong Al-Quds. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *