Home » Kenyataan Media » Pelantikan Al-Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan Sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Yang Baharu

Pelantikan Al-Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan Sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Yang Baharu

Yang Dipertua YADIM yang baharu, Al-Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan. - Foto Arkib YADIM

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengalu-alukan pelantikan Al-Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan sebagai Yang Dipertua (YDP) yang baharu berkuatkuasa 16 Julai 2020.

Pelantikan Al-Fadhil Ustaz sebagai YDP YADIM yang ke 14 oleh YAB Perdana Menteri adalah selaras dengan perkara 8 (C) Surat Ikatan Amanah YADIM yang menjadi asas perlembagaan yayasan ini.

Al- Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin yang dilahirkan pada 24 November 1970 di Besut, Terengganu Darul Iman adalah merupakan lulusan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir dari Fakulti Usuluddin Syu’bah Hadis. Selain daripada Universiti Al-Azhar, Al-Fadhil Ustaz juga telah melalui pelbagai peringkat pengajian di dalam dan luar negara termasuklah di Maktab Ittibai’s Sunnah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Madrasah ad-Diniah al-Bakriah, Pasir Tumboh, Kelantan Darul Naim, Masjidil Haram Makkah Al-Mukarramah dan Maahad Fathul Islami, Damascus, Syria.

Selain daripada mempunyai latar belakang pendidikan yang luas, beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang dakwah, sosial, kebajikan dan gerakan Islam yang pelbagai di dalam dan luar negara serta sering diundang menyampaikan kuliah-kuliah, membentang kertas-kertas kerja dan telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya; Pra-Syarat Kemenangan Islam, Fiqh Keluarga Syurgawi, 40 Hadis Perjuangan, dan Memburu Redha Allah.

Beliau juga terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Temerloh sebelum ini.

Dengan kelayakan dan pengalaman yang luas ini, YADIM optimis bahawa pelantikan Al-Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan akan menambah dinamisme gerakan dakwah yang dipelopori oleh YADIM di negara ini.

YADIM juga yakin dengan pelantikan ini, hasrat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk melihat martabat Islam diperkasakan melalui aktiviti dakwah,kebajikan dan pendidikan akan dapat direalisasikan dengan sokongan segenap lapisan masyarakat termasuklah pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam masa yang sama, YADIM ingin turut merakamkan penghargaan kepada Al-Fadhil Ustaz Hj. Nik Omar Nik Ab Aziz atas sumbangan yang telah diberikan sepanjang berkhidmat sebagai YDP YADIM yang ke-13.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
28 Zulqaidah 1441
20 Julai 2020

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *