Home » Langit Terbuka » Pemimpin tidak amanah sebabkan ummah sengsara

Pemimpin tidak amanah sebabkan ummah sengsara

Titah Timbalan Yang Dipertuan Agong, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil serta melalui kaedah yang meragukan

PUTRAJAYA – Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pemimpin yang tidak amanah dan tidak berintegriti akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara.

Titah Sultan Nazrin, kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil serta melalui kaedah yang meragukan.

Baginda bertitah, kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani.

”Ia adalah kekayaan palsu yang sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah, serta budaya melakukan banyak pembaziran.

“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, penyeludupan, jenayah dan rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

“Ia juga mengakibatkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, budaya hipokrasi juga akan melemahkan tiang integriti ekoran berlakunya amalan pepat di luar rencong di dalam kerana membenarkan gunting selesa dalam lipatan.

Baginda bertitah, sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti, terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

“Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur, tidak telus.

“Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara pemimpin.

Titah baginda, ulama besar, umara berwibawa dan peniaga jujur akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki sifat takwa, serta menghayati kebesaran Ilahi.

“Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah SWT, maka sejahteralah hidup ummah dan akan makmurlah negara,” titah baginda. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *