Home » Langit Terbuka » Pendakwah, da’i perlu beri pencerahan

Pendakwah, da’i perlu beri pencerahan

Yang Dipertua YADIM ketika menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga mangsa kebakaran di Jengka 8. - Foto YADIM

MARAN – Golongan pendakwah dan da’i perlu proaktif memberikan pencerahan kefahaman agama yang betul jika terdapat mana-mana ajaran pelik dan menyeleweng daripada Islam dikesan di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, peranan golongan itu penting menasihatkan masyarakat jangan terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng.

Beliau berkata, negara ini ‘tidak sunyi’ daripada ajaran menyeleweng dan pelik seperti yang terkini Agama Melayu dibawa seorang wanita yang popular dengan panggilan Ibu Yati.

“Dalam hal itu peranan para da’i dan pendakwah memberi pencerahan kepada masyarakat bahawa ajaran itu sesat dan perlu ditolak.

“Anggota masyarakat pula jika ada kemusykilan perlu merujuk kepada pihak berautoriti seperti mufti, pegawai jabatan agama dan imam,” katanya setelah menyampaikan sumbangan Yadim berjumlah RM2,000 kepada mangsa rumah terbakar, Saari Ahmad, 80, di Felda Jengka 8 di sini semalam.

Nasrudin berkata, YADIM berperanan menyelaraskan kegiatan badan dakwah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Beliau dalam pada itu berkata, siasatan Pejabat Agama Islam Selangor dan Melaka kini berada di peringkat akhir berikutan aduan 13 NGO terhadap Ibu Yati.

Beliau juga berkata, setakat ini belum menerima writ saman daripada Ibu Yati yang difahamkan mahu mengambil tindakan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, YADIM memberi jaminan sebanyak RM15,000 lagi akan ditambah untuk membolehkan sebuah rumah baharu kepada keluarga Saari  dibina tidak lama lagi.- Utusan

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *