Home » Langit Terbuka » Penerangan menyeluruh Gagasan Rahmatan Lil Alamin pada akhir tahun

Penerangan menyeluruh Gagasan Rahmatan Lil Alamin pada akhir tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika merasmikan penutupan Karnival Ambang Ramadhan 2019. - Foto FB

KOTA BHARU – Penerangan mengenai Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang bakal menjadi dasar negara, disasarkan sampai secara menyeluruh kepada masyarakat, akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata dalam tempoh setahun usaha ke arah itu, penerangan berkenaan kini sudah mencapai 50 peratus.

Beliau berkata, peratusan itu meliputi hasil interaksi dan diskusi dengan kementerian, jabatan kerajaan dan agensi.

“Sebanyak 50 peratus lagi ialah pada peringkat akar umbi yang akan kita usahakan sebaik mungkin dengan kerjasama semua jabatan, selain kerajaan negeri. Selama setahun kita bergerak, saya seronok kerana masyarakat mulai bercakap mengenai Rahmatan Lil Alamin.

“Kita ada banyak cabang untuk menjelaskan mengenai perkara itu, selain pasukan khas yang akan menjawab jika timbul sebarang kekeliruan mengenai Rahmatan Lil Alamin dalam media sosial.

“Alhamdulillah setakat ini, kita berjaya memberi penjelasan melalui media sosial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Ambang Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, kerajaan akan mengadakan Karnival Rahmah pada peringkat pusat, Julai depan, sebagai program kemuncak penerangan mengenai gagasan itu.

Beliau berkata, karnival yang akan berlangsung selama tiga hari itu membabitkan semua kementerian dan agensi.

“Selepas karnival itu tamat, kita berharap kerajaan negeri akan memainkan peranan masing-masing untuk meneruskannya pula supaya perkara berkenaan sampai ke peringkat akar umbi.

“Alhamdulillah setakat ini, Melaka serta Johor sudah menyatakan persetujuan untuk mengadakan karnival pada peringkat negeri, dan kita berharap Kelantan akan turut berbuat demikian,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *