Home » Langit Terbuka » Pengawal Keselamatan Masjid di California Dipuji Wira Selepas Berbalas Tembakan Dengan Penyerang

Pengawal Keselamatan Masjid di California Dipuji Wira Selepas Berbalas Tembakan Dengan Penyerang

Seorang pegawai polis berdiri di luar Pusat Islam San Diego pada pagi selepas kejadian tembakan, di San Diego, California, AS. - Foto REUTERS

SAN DIEGO: Pengawal keselamatan yang terbunuh dalam serangan di Pusat Islam San Diego dipuji sebagai wira kerana sanggup mengorbankan nyawanya demi melindungi 140 murid sekolah di dalam masjid itu selepas berbalas tembakan dengan dua lelaki bersenjata, sekali gus menggagalkan serangan lebih buruk.

Pihak berkuasa turut mendedahkan dua penyerang berusia 17 dan 18 tahun yang membunuh diri tidak lama selepas kejadian itu dipercayai mula berkenalan secara dalam talian dan menjadi radikal akibat ideologi kebencian di internet.

Sehari selepas insiden itu, pihak berkuasa mengadakan sidang media yang memberi tumpuan kepada tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan masjid itu yang terbunuh dalam serangan selepas meletakkan diri mereka dalam bahaya demi menyelamatkan orang lain.

Menurut Ketua Polis San Diego, Scott Wahl, pengawal keselamatan, Amin Abdullah, yang turut dikenali rakan-rakannya sebagai Brian Climax, segera mengenal pasti dua remaja terbabit sebagai ancaman lalu melepaskan tembakan ke arah mereka ketika suspek berlari melepasinya di luar masjid.

“Suspek kemudian berhenti dan membalas tembakan.

“Abdullah maut ditembak di kawasan parkir bersama dua lagi lelaki yang membantu mengalih perhatian suspek selepas mereka menyerbu masuk ke bangunan masjid, sekali penyerang itu keluar semula ketika polis sedang mengepung lokasi kejadian secara besar-besaran,” kata Wahl.

Dua lagi mangsa, Mansour Kaziha dan Nadir Awad, terperangkap lalu ditembak mati di kawasan parkir oleh suspek apabila mereka keluar semula.

Dalam insiden itu, Abdullah sempat membuat panggilan radio yang mengaktifkan sekatan keselamatan di masjid, hingga berjaya mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Menurut Wahl, insiden berbalas tembakan dan amaran keselamatan itu memberi masa kepada individu lain di dalam bangunan untuk berlindung di sebalik pintu berkunci, manakala Kaziha dan Awad mengalih perhatian suspek keluar dari bangunan.

Beberapa minit sebelum anggota polis dari bandar kedua terbesar di California itu tiba di masjid, dua suspek melarikan diri menaiki kereta.Mereka ditemui mati di dalam kenderaan tidak lama kemudian beberapa blok dari lokasi kejadian, dipercayai akibat tembakan yang dilepaskan sendiri.

Wahl berkata, ketiga-tiga mangsa mengorbankan nyawa demi menyelamatkan orang lain, namun beliau memberi pujian khas kepada Abdullah atas tindakan beraninya.

“Tindakannya tanpa ragu-ragu melengah, mengalih perhatian dan akhirnya menghalang dua individu itu daripada memasuki kawasan utama masjid yang menempatkan kira-kira 140 kanak-kanak dalam jarak hanya 15 kaki daripada suspek,” katanya.

Sementara itu, imam dan pengarah Pusat Islam, Taha Hassane, menyifatkan ketiga-tiga mangsa sebagai syuhada dan wira.

Polis dan pegawai FBI berkata, mereka menyiasat serangan itu sebagai jenayah kebencian namun enggan memberikan butiran lanjut mengenai motif yang mungkin.

“Apa yang boleh saya katakan suspek sememangnya mempunyai kebencian meluas terhadap ramai pihak.

“Suspek dikenali sebagai Caleb Vasquez, 18, dan Cain Clark, 17, manakala ibu suspek sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya. – Reuters

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *