Home » Langit Terbuka » Peningkatan kesedaran kurangkan kematian

Peningkatan kesedaran kurangkan kematian

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sehingga Selasa lalu hanya 10 jemaah haji Malaysia meninggal dunia berbanding keseluruhan musim haji tahun lalu yang mencatatkan 25 kematian

MINA – Pendekatan proaktif Tabung Haji (TH) mendekati jemaah untuk meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan berjaya mengurangkan jumlah kematian bagi musim haji tahun ini berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga Selasa lalu hanya 10 jemaah haji Malaysia meninggal dunia berbanding keseluruhan musim haji tahun lalu yang mencatatkan 25 kematian.

Menurutnya, daripada 10 kes jemaah meninggal dunia itu sembilan meninggal dunia di Makkah dan satu di Madinah.

“Daripada 10 kes kematian itu juga hanya satu berlaku selepas wukuf (pada Isnin lalu) manakala bakinya sebelum wukuf. Tahun lalu, sebelum wukuf 19 orang meninggal dunia dan selepas wukuf enam orang.

“Ini menunjukkan usaha untuk mengurangkan kadar kematian itu berjaya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Rawatan TH Syisyah semalam.

Hadir sama, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, antara punca utama perkembangan positif itu ialah kehadiran lebih ramai ahli rombongan petugas perubatan iaitu 266 orang termasuk 18 doktor pakar dan 39 doktor biasa.

“Selain itu, kita juga ada pegawai perubatan awam yang menziarah jemaah dari bilik ke bilik jemaah secara proaktif untuk mengenal pasti lebih awal jika ada kes jemaah sakit.

“Dulu, tiada pendekatan ini. Jadi, ada jemaah yang pergi Arafah dan Mina dalam keadaan sakit, sekali gus menyumbang kepada berlakunya kematian,” katanya.

Mujahid turut memuji program Wukuf Safari yang diperkenalkan TH sejak 2016 khusus untuk membawa jemaah yang sakit berwukuf di Arafah supaya mereka tidak terlepas rukun paling penting dalam ibadat haji itu.

Beliau berkata, di bawah program itu seramai 117 jemaah yang sakit diletakkan dan dibawa dengan lapan bas yang diubah suai serta dua ambulans untuk turut berada di Arafah pada hari wukuf Isnin lalu.

“Mereka berada di Arafah selama kira-kira dua jam dengan dipantau 78 petugas perubatan dan enam petugas kebajikan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini ada 16 jemaah haji Malaysia menerima rawatan di hospital tempatan dan 149 di pusat rawatan TH di Makkah manakala tiada lagi jemaah menerima rawatan di Madinah.

Mujahid juga memaklumkan, pada musim haji kali ini empat jemaah tidak dapat berwukuf kerana koma dan berada di hospital, jumlah itu sama seperti tahun lalu.

Beliau yang kali pertama memantau urusan rombongan haji Malaysia sejak dilantik ke Kabinet Julai lalu turut memuji kemudahan perubatan serta perkhidmatan diberi TH secara keseluruhan dan memberi jaminan ia akan ditingkatkan dari masa ke semasa demi keselesaan jemaah haji. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *