KUALA LUMPUR — Penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa dilihat sebagai ancaman serius kepada kestabilan negara apabila ia berpotensi meruntuhkan kepercayaan rakyat serta mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan menegaskan, Malaysia yang selama ini dikenali sebagai model perpaduan negara berbilang kaum kini berdepan cabaran baharu susulan gelombang fitnah dan maklumat tidak sahih.
Menurutnya, pelbagai dakwaan tidak berasas termasuk tuduhan terhadap Kerajaan Madani gagal mengurus krisis tenaga global serta spekulasi kononnya berlaku ‘penyeludupan’ ratusan ribu tong diesel ke luar negara hanyalah percubaan mencalar imej pentadbiran.
“Antara dakwaan tidak berasas yang dilemparkan termasuklah tuduhan kononnya Kerajaan Madani gagal menangani impak daripada krisis tenaga global serta sengaja membebankan rakyat dengan kos sara hidup.
“Malah, spekulasi tidak berasas mengenai ‘penyeludupan;’ 329,000 tong minyak diesel keluar negara turut disebarkan bagi mencalarkan imej pentadbiran, sedangkan ia melibatkan entiti luar yang tiada kaitan dengan syarikat nasional seperti Petronas.
“Hakikatnya, ekonomi domestik kekal terkawal hasil pengurusan berhemah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun mendepani ketegangan geopolitik dunia, Kerajaan Madani tetap komited melalui inisiatif subsidi bersasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkata, hakikatnya ekonomi negara masih berada dalam keadaan terkawal hasil pengurusan berhemah kerajaan meskipun berdepan tekanan geopolitik global.
Katanya, pelbagai inisiatif termasuk subsidi bersasar terus dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat, antaranya harga RON95 kekal RM1.99 seliter serta bantuan BUDI Diesel yang ditingkatkan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan ratusan kandungan berita palsu melibatkan isu bahan api, tarif elektrik dan dakwaan penjualan minyak ke luar negara.
“Laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM atau MCMC) telah mengesan sebanyak 386 kandungan berita palsu, dengan 118 kandungan berkaitan isu bahan api, 45 berkaitan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala 147 lagi mengenai dakwaan bayaran tol kepada Iran, dan 15 kandungan fitnah yang mendakwa Malaysia menjual minyak kepada Filipina.
“Kita harus mengambil iktibar daripada krisis di luar negara seperti di United Kingdom pada 2024, di mana rusuhan akibat berita palsu telah melumpuhkan negara dan institusi pemerintahan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan Islam telah lama menggariskan prinsip tabayyun iaitu menyelidik kebenaran sesuatu maklumat sebelum disebarkan.
Jelasnya, kegagalan mematuhi prinsip tersebut bukan sahaja mencetuskan kekeliruan ilmu, malah membuka ruang kepada penyebaran kepalsuan yang boleh membawa kepada kerosakan sosial.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar menghentikan budaya penyebaran berita palsu serta mengamalkan integriti maklumat demi memastikan keamanan, perpaduan dan kestabilan negara terus terpelihara.
“Kebencian terhadap sesuatu pihak tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berlaku adil dengan menyebarkan fitnah atau kepalsuan kerana Islam tidak berdiri atas dasar kezaliman atau penindasan terhadap manusia lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



KOMEN