Home » Langit Terbuka » Perdana Menteri Kerjasama Dengan Negara Sahabat, Usaha Bebaskan Aktivis Sumud Flotilla

Perdana Menteri Kerjasama Dengan Negara Sahabat, Usaha Bebaskan Aktivis Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bekerjasama rapat dengan pemimpin negara-negara sahabat demi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan dengan segera.

Setakat ini, jumlah peserta Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan oleh tentera Israel itu dilaporkan sudah mencecah kepada 16 orang.

Sehubungan dengan itu, Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook memaklumkan bahawa Malaysia menuntut agar semua sukarelawan tidak dizalimi dan dibebaskan dengan segera.

“Malaysia menuntut agar mereka tidak dizalimi, dihalang hak kemanusiaan atau dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin.

“Doakan agar segala usaha ini dipermudahkan, Insya-Allah. Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami),” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, tentera Israel memintas 15 kapal flotilla terdiri daripada Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef, Tenaz, Bianca Ita, Abodes, Gotico dan Themis.

Difahamkan seramai 16 rakyat Malaysia menaiki sembilan kapal yang terkesan termasuk Zainal Rashid Ahmad di atas kapal Amanda; Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella); Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus).

Aktivis lain yang turut ditahan dalam insiden itu adalah S Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Ferluto) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).

Dalam insiden pintasan tentera Israel itu, pakar maritim Malaysia iaitu Al-Ahmad Shah Abdul Kadir (CEO Kapal) yang menaiki kapal Iridescence pula dilaporkan turut ditahan pada pukul 8.10 malam tadi.

Selain itu, aktivis yang menaiki kapal Bolarize iaitu Mohd. Hanafi Mohd. Salim dan Mohd. Redzal Amzah turut ditahan bersama Norhelmi Ab Ghani dan Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin (peserta kapal Ozgurluk).

Manakala empat peserta lain termasuk Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs dan Chin (Alcyone); Syed Amirul (Don Juan) serta Dr Thanisah (Zefiro) dilaporkan masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.

Sumber : https://www.malaysiadateline.com/anwar-ibrahim-kerjasama-dengan-negara-sahabat-usaha-bebaskan-aktivis-sumud-flotilla/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *