Home » Langit Terbuka » Perlis benar solat Jumaat di masjid, tetapi bersyarat

Perlis benar solat Jumaat di masjid, tetapi bersyarat

Di Perlis, mereka yang diizinkan solat Jumaat di masjid, diwajibkan mematuhi ketetapan antara lain termasuk memeriksa suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam daftar hadir atau melalui aplikasi MySejahtera. - Foto BebasNews

KANGAR – Solat Jumaat di semua masjid di negeri ini dibolehkan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tertakluk syarat ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah jemaah solat Jumaat mestilah terdiri anak kariah termasuk imam dan khatib, dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid serta tidak kurang tiga orang seperti ditentukan sebelum ini.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bagaimanapun bertitah individu berusia 60 tahun dan ke atas serta kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan hadir untuk solat Jumaat di masjid.

Mereka yang diizinkan solat Jumaat di masjid pula, titah baginda diwajibkan mematuhi ketetapan antara lain termasuk memeriksa suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam daftar hadir atau melalui aplikasi MySejahtera.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema tidak dibenarkan hadir, begitu juga golongan berisiko sama ada yang mempunyai masalah kesihatan atau memiliki sejarah kontak rapat dengan pesakit COVID-19 atau diarah menjalani kuarantin di rumah.

“Ketetapan lain mesti dipatuhi jemaah termasuk berkaitan pematuhan penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan arahan berwuduk sebelum hadir ke masjid.

“Semua pengerusi masjid perlu mematuhi ketetapan dibuat dan masjid yang tidak mampu memenuhi semua syarat dalam panduan dikeluarkan MAIPs tidak dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat berkenaan,” titah baginda.

Baginda menyatakan demikian melalui titah berkaitan pengurusan masjid dan surau susulan pelaksanaan semula PKP di Perlis bermula 22 Januari hingga 4 Februari ini, disebabkan penularan tempatan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs bersetuju aktiviti secara berkumpulan di masjid dan surau sama ada kelas, kuliah dan pengajian semasa PKP dihentikan, sebaliknya disaran dilakukan secara dalam talian sebagai alternatif.

Bagaimanapun, pengecualian untuk solat jemaah dan solat Jumaat diberikan kepada pelajar yang tinggal di asrama dengan syarat tiada pergerakan keluar serta tiada kontak dengan pihak luar.

Untuk solat lima waktu pula, titah baginda hanya pegawai dan jawatankuasa masjid bertugas dibenar hadir dengan tidak melebihi lima orang, selepas benar-benar dipastikan kebersihan dan kesihatan seperti ditetapkan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *