Keberangkatan tiba baginda di kompleks itu pada 10.30 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan disambut oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan dan Pengerusi TH, Tan Sri Mohammed Nor Md. Yusof.

Ketika bertitah Tunku Azizah memaklumkan, baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat hadir kerana gering di buku lali dan dinasihatkan doktor untuk berehat.

“Saya ingin sampaikan salam Tuanku yang turut minta maaf kerana (baginda) tidak dapat hadir pada pagi ini atas faktor kesihatan, baginda sampaikan ucapan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih untuk jadi tetamu Allah pada hari ini.

“Tuanku juga berharap agar semua jemaah haji Malaysia dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti yang di pelajari semasa kurus,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong menyampaikan pesanan Al-Sultan Abdullah yang mahukan semua jemaah haji negara menggunakan peluang yang diberi oleh Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat sebagai tanda syukur diatas nikmat yang dikurniakan.

Titah baginda, para jemaah haji Malaysia juga perlu sentiasa menjaga akhlak dan jauhi anasir tidak sihat supaya tidak menjejaskan imej serta nama baik negara. – Utusan Malaysia