KUALA LUMPUR – Bagaimana gerak kerja dakwah YADIM boleh terus berkembang dan bergerak seiring di seluruh negara menerusi para Zamalah?
Persoalan itu antara yang disentuh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom ketika bertemu para Zamalah YADIM dalam sesi Townhall pada hari pertama Permukiman Zamalah YADIM Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2 Oktober.
Sesi Townhall berkenaan menjadi sebahagian daripada Permukiman Zamalah YADIM Peringkat Kebangsaan yang menghimpunkan lebih 250 orang para Zamalah dari seluruh negara selama tiga hari hingga 4 Oktober bagi berkongsi pengalaman, menyelaras gerak kerja dan membawa idea baharu untuk diterjemahkan di lapangan.
Datuk Dr. Hasan dalam sesi ini mengalu-alukan pandangan, cadangan dan idea daripada para Zamalah sendiri dalam memastikan gerakan dakwah YADIM terus mempunyai pendekatan yang segar dan dekat dengan keperluan masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan agar gerak kerja Zamalah di setiap negeri terus bergerak dalam satu arah, dengan kekuatan dan pengalaman yang ada di setiap kawasan dapat dikongsi untuk manfaat bersama.
Perbincangan itu turut menyentuh keperluan melihat pendekatan baharu dalam gerak kerja dakwah, termasuk bagaimana Zamalah boleh terus memainkan peranan dalam suasana masyarakat yang semakin berubah.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin pula menyentuh kepentingan membawa nilai adab ke ruang digital, selain menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menambah baik perkhidmatan dan saluran aduan untuk para Zamalah.



KOMEN