Home » Langit Terbuka » Perobohan surau LTSIP berdasarkan persetujuan MAIK

Perobohan surau LTSIP berdasarkan persetujuan MAIK

Perobohan Surau Al-Mikraj menimbulkan reaksi pelbagai pihak namun, surau itu akan digantikan dengan pembinaan surau baharu dan selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. - Foto NSTP

PUTRAJAYA  – Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius berhubung isu perobohan Surau Al-Mikraj di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan yang tular di media sosial baru-baru ini.

 

MOT menerusi kenyataan akhbar berkata, kementerian amat prihatin dan berhati-hati dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepelbagaian agama serta budaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

 

Menurutnya, perobohan Surau Al-Mikraj dilaksanakan berdasarkan persetujuan, tatacara dan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) termasuk mengenai kaedah mengurus harta wakaf bahan-bahan yang mengandungi tulisan ayat-ayat suci al-Quran dan seni khat dalam surau berkenaan.

 

“MOT juga menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menitahkan agar semua bahan konkrit yang dikeluarkan daripada Surau Al-Mikraj diserahkan kepada Masjid Telipot, Kota Bharu.

 

“Bahan-bahan yang boleh diguna pakai semula diserahkan kepada MAIK sebelum diagihkan kepada Masjid Kampung Laut, Kota Bharu,” katanya.

 

MOT berkata, pihaknya kini melaksanakan projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merangkumi kerja-kerja pembesaran bangunan terminal bagi menampung keperluan sehingga empat juta penumpang setahun.

 

Jelasnya, projek itu bertujuan meningkatkan tahap keselesaan di lapangan terbang, memenuhi keperluan kecekapan operasi penerbangan serta meningkatkan keselamatan di lapangan terbang.

 

Baru-baru ini, isu perobohan Surau Al-Mikraj menimbulkan reaksi pelbagai pihak namun, surau itu akan digantikan dengan pembinaan surau baharu dan selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal itu.

 

MOT turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek ini dan berharap agar penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *