ALOR SETAR: Peruntukan tambahan RM3.05 juta kepada institusi pendidikan Islam di Kedah diharap digunakan untuk menaik taraf tahap keselesaan fizikal pondok serta meningkatkan kualiti pembelajaran pelajarnya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata peruntukan diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mampu memberi daya tarikan kepada pondok supaya terus relevan setanding aliran pendidikan arus perdana.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, kebanyakan institusi pondok dan agama beroperasi dengan sumber kewangan terhad dan bergantung kepada sumbangan serta wakaf untuk menampung kos penyelenggaraan asas.
“Kedah punya sejarah panjang sebagai antara pusat pendidikan pondok tertua dan paling berpengaruh di Tanah Melayu, dengan warisan keilmuan yang banyak melahirkan ramai ulama, tok guru dan cendekiawan Islam yang menyumbang kepada pembangunan tamadun ilmu di rantau ini.
“Institusi ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengajian agama, malah turut menjadi mercu tanda identiti budaya dan sejarah keilmuan Islam di negeri ini yang wajar terus dipelihara dan diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Malam tadi, Anwar pada Majlis Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibn Sunni Al-Talaqqi (MUSTAQ), Pendang, mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM3.05 juta.
Ia terdiri RM2.8 juta untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam serta RM250,000 kepada MUSTAQ bagi pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah dan Musthola Hadis.
Dr Taufiq berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu yang matlamat asasnya adalah bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan Islam di Kedah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/09/1650005/peruntukan-tambahan-rm3j-naik-taraf-sekolah-pondok-tingkat-kualiti



KOMEN