Home » Langit Terbuka » PM utus surat kepada Arab Saudi mohon kuota haji ditambah

PM utus surat kepada Arab Saudi mohon kuota haji ditambah

Malaysia berharap agar dapat memperolehi sekurang kurangnya 8,000 kuota tambahan haji, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji . - Foto JPNN.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata, bagaimanapun buat masa ini Lembaga TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan hal itu.

“Kita telah menggunakan saluran tertentu untuk membolehkan kita tetap mendapat kuota tambahan berkenaan. Kita amat berharap kalau tak dapat 10,000 kuota sekurang-kurangnya 8,000 masih berpeluang.

“Saya difahamkan perdana menteri sendiri telah mengutus surat kepada kerajaan Arab Saudi (baru-baru ini) berhubung kuota tambahan ini. Jadi kita harap jawapannya adalah secepat mungkin kerana musim haji sudah tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour peringkat TH di sini.

Kuota rasmi yang diperuntukan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini adalah sebanyak 30,200 orang.

Ditanya sama ada TH yakin akan tetap mendapat kuota tambahan bagi jemaah haji Malaysia, Zukri berkata, sukar untuk beliau menjangkakan hal itu memandang banyak faktor yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memutuskan perkara itu.

TH amat berharap agar kuota tambahan itu dapat diberikan bagi mengurangkan tempoh menunggu bakal haji yang jumlah tempohnya sekarang dianggarkan selama 120 tahun, katanya.

Menurutnya, penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia akan berlepas pada 4 Julai manakala penerbangan terakhir adalah pada 4 Ogos dan jangkaan hari wukuf adalah pada 10 Ogos bagi musim kali ini.

Dalam pada itu Zukri berkata, TH yakin dapat memberikan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2019 yang lebih tinggi iaitu melebihi 1.25 peratus pada 2018 berikutan perkembangan positif dan pengurusan pemulihan yang baik dilaksanakan TH ketika ini. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *