Home » Citra Yadim » Program Ibadah Korban YADIM 2026 disempurnakan

Program Ibadah Korban YADIM 2026 disempurnakan

KUALA SELANGOR – Program Ibadah Korban YADIM 2026 telah dilaksanakan pada 30 Mei apabila enam ekor lembu dan 10 ekor kambing disempurnakan ibadah korbannya di Colla Cattle Farm, Kuala Selangor.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli sendiri hadir bagi meninjau pelaksanaan program bermula daripada penyempurnaan ibadah korban sehinggalah proses membersih, melapah, memotong dan membungkus daging.

Kesemua proses dilaksanakan dalam fasiliti berteknologi tinggi yang memenuhi piawaian halal, bersih, teratur dan terkawal, sekali gus membantu memastikan pengurusan korban YADIM berjalan dengan cekap dan sempurna.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YADIM dalam menyemarakkan syiar Islam dan memperkukuh budaya kebersamaan dalam masyarakat selaras dengan nilai Malaysia MADANI.

Sementara itu pada hari yang sama, seekor lembu juga selamat disempurnakan dalam acara ibadah korban di Ladang Lubok Jong Pasir Mas, Kelantan.

Hadir sama ke acara di Kuala Selangor ini ialah Pengarah YADIM Negeri Selangor, Encik Fitri Aziz Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penajaan, Puan Ummu Hani Husna Abd Aziz, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Encik Mohamad Hafez Azmi serta peserta Program Ibadah Korban YADIM 2026.

InsyaAllah, program akan diteruskan pada 3 Jun di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), Sungai Semungkis menerusi agihan daging korban kepada penerima yang telah dikenal pasti selain penyempurnaan dua ekor kambing lagi bagi tujuan akikah.

Terima kasih kepada semua peserta, sukarelawan dan rakan kerjasama yang telah membantu menjayakan program ini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *