Home » Citra Yadim » Program Pengukuhan Peranan Nuqaba Sebagai Pembimbing Rakan Sebaya

Program Pengukuhan Peranan Nuqaba Sebagai Pembimbing Rakan Sebaya

HULU LANGAT – Program Kecemerlangan Nuqaba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Maahad Hamidiah Kajang (MAHISS) telah berlangsung pada 8 hingga 10 Mei di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), Hulu Langat.

Program anjuran INDAH dengan kerjasama sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru MAHIIS ini telah menghimpunkan seramai 95 orang peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 hingga 6.

Peserta yang terlibat merupakan pelajar terpilih untuk memikul amanah sebagai nuqaba (pemimpin pelajar) di sekolah, khususnya dalam membimbing dan menggerakkan usrah dalam kalangan pelajar apabila kembali ke sekolah nanti.

Program ini bertujuan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah, kepimpinan serta jati diri Islam yang kukuh.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pengisian kerohanian, latihan kepimpinan, pengukuhan komunikasi serta penghayatan peranan nuqaba sebagai pembimbing rakan sebaya. Peranan nuqaba amat penting dalam membentuk suasana sekolah yang harmoni, berdisiplin dan berteraskan nilai-nilai Islam melalui pendekatan dakwah dan tarbiah secara berhikmah.

Program ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak, berdaya kepimpinan dan mempunyai semangat kebersamaan dalam membina masyarakat yang sejahtera. Nilai ihsan, hormat-menghormati, kerjasama serta tanggungjawab sosial turut diterapkan sepanjang program bagi membentuk pelajar yang mampu menjadi agen perubahan positif dalam komuniti sekolah.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Pengetua MAHISS, Puan Rahmah Husin. Hadir sama ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustaz Omar Khalish Mamat, Guru Kanan Mata Pelajaran Pendidikan Islam, Ustazah Hasnul Habibah Abdullah serta Penolong Pengarah INDAH, Ustaz Zulnizam bin Zulkifli.

Lebih banyak program seperti ini dirancang bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berwibawa, berintegriti dan mampu menjadi nuqaba muda yang membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *