Home » Langit Terbuka » Pulau Pinang benar solat jemaah 3 orang, tangguh solat Aidilfitri

Pulau Pinang benar solat jemaah 3 orang, tangguh solat Aidilfitri

Kebenaran solat berjemaah bagi solat fardu 5 waktu adalah terhad kepada 3 orang iaitu imam, bilal dan siak bertugas sahaja dan masih tertakluk kepada pekeliling jabatan bertarikh 21 April, jelas JHEAIPP. - Foto NSTP

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau di negeri ini dengan menetapkan beberapa garis panduan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 14 Mei lepas.

“Kebenaran solat berjemaah bagi solat fardu 5 waktu adalah terhad kepada 3 orang iaitu imam, bilal dan siak bertugas sahaja dan masih tertakluk kepada pekeliling jabatan bertarikh 21 April,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada 19 Mei.

Menurutnya, solat sunat tarawih dan Aidilfitri serta lain-lain aktiviti berkaitan, termasuk ceramah serta tazkirah ditangguhkan sehingga arahan baru dikeluarkan oleh JHEAIPP.

“Bagi tujuan syiar Islam sempena sambutan Hari Raya, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaungkan takbir oleh pegawai masjid dan siak bertugas atau memasang rakaman bermula selepas solat Isyak hingga 9.30 malam pada malam Hari Raya,” tambahnya.

Zulkifli berkata, arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dan secara berperingkat tertakluk kepada perkembangan situasi Covid-19 dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 15 Mei lepas, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan di negeri itu bermula Jumaat ini, dengan bilangan jemaah terhad antara 12 dan 15 orang sahaja pada satu-satu masa terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa kariah serta siak di masjid atau surau.

Dalam pada itu Majlis Fatwa Negeri Sabah mengambil ketetapan untuk membenarkan aktiviti solat berjemaah, termasuk terawih dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih bermula Jumaat ini.

Mufti Sabah Bungsu Aziz Jaafar bagaimanapun berkata, kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sahaja dan tidak melebihi 4 jemaah.

Beliau berkata, bagi solat terawih, lebih digalakkan didirikan 8 rakaat dan selebihnya dilaksanakan di rumah, manakala solat Jumaat bilangan ahli jemaah tidak kurang daripada 3 orang dan tidak lebih daripada 12 jemaah, termasuk imam dan khatib.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tidak melibatkan solat sunat Aidilfitri. Oleh itu, semua jemaah dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat itu di rumah.

“Takbir hari raya hanya dibenarkan pada malam raya sahaja dengan bilangan jemaah 4 orang dalam kalangan AJK masjid atau surau,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.

Bungsu Aziz berkata, AJK masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir berjemaah.

Beliau berkata setiap jemaah perlu membuat pengesanan suhu badan, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, merekodkan kehadiran dan perlu ada penjarakan sosial antara jemaah. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *