Home » Langit Terbuka » Rasuah dalam perkhidmatan awam kini ‘amat rendah’ – Dr Mahathir

Rasuah dalam perkhidmatan awam kini ‘amat rendah’ – Dr Mahathir

Menurut Pedana Menteri, buat masa ini kes rasuah yang dilaporkan sangat rendah berbanding yang dilaporkan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu - Foto mStar

PUTRAJAYA –  Kes rasuah membabitkan 1.6 juta penjawat awam sangat rendah sejak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kerajaan awal Mei lalu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, buat masa ini, kes rasuah yang dilaporkan sangat rendah berbanding yang dilaporkan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Jika kerajaan dahulu, semua orang bercakap pasal rasuah. Sekarang kami berjaya mengurangkan kes-kes rasuah berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak nafikan gejala rasuah masih wujud cuma ia tidak berjaya dikesan oleh kami,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Katanya, kerja yang tertangguh sebenarnya membuka peluang kepada wujudnya aktiviti rasuah.

Dr Mahathir berkata, apabila seseorang pegawai itu melambat-lambatkan kerjanya maka, pemohon akan tampil untuk menawarkan wang atau sogokan bagi mempercepatkan proses itu.

“Jika ia (kerja atau tugas) perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari maka, ia perlu disiapkan dalam tempoh itu. Apabila pegawai mendapati penangguhan kerja itu sebagai peluang mendapatkan wang lebih maka, mereka akan lakukan perkara itu dengan sengaja.

“Pada zaman kerajaan baru ini, kami sediakan carta aliran kerja, fail meja dan buku manual untuk mengelak aktiviti rasuah itu terus berulang. Bagaimanapun, proses pelaksanaannya mengambil masa untuk diamalkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Konvensyen Pemerkasaan PBT penting untuk memaklumkan kepada jentera kerajaan mengenai sistem pentadbiran kerajaan baru.

“Ia akan menerangkan apakah yang dikehendaki kerajaan baru dan bagaimana jentera kerajaan melakukan tugas yang diberikan dengan tersusun dan tertib.

“Kerajaan mempunyai jumlah kakitangan kerajaan seramai 1.6 juta dan jika tiada sistem yang baik maka, kita tidak boleh mencapai apa-apa matlamat,” katanya.

Justeru, katanya, semua peringkat pentadbiran akan dibahagikan kuasa bermula daripada peringkat terendah sehingga peringkat tertinggi termasuk PBT.

“Bagaimanapun, pada masa sama mereka (penjawat awam) bebas memberikan idea baru,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *