Rumah terbuka Jakim, kumpulan Cina Muslim pupuk persefahaman

0
391
Majlis rumah terbuka tersebut diadakan untuk mempromosikan keindahan masyarakat berbilang kaum dan agama, serta memadamkan persepsi bahawa seseorang itu akan menjadi Melayu jika mereka masuk Islam, menurut Jakim. - Foto Jakim

KUALA LUMPUR – Ketika isu melibatkan ketegangan kaum kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, suatu majlis rumah terbuka menyambut perayaan Tahun Baru Cina berlangsung dengan tujuan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) bersama menganjurkan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur pada 9 Februari yang menyaksikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Majlis tersebut diadakan untuk mempromosikan keindahan masyarakat berbilang kaum dan agama, serta memadamkan persepsi bahawa seseorang itu akan menjadi Melayu jika mereka masuk Islam, menurut Jakim.

- advertisement -

“Tujuan program adalah untuk memperkenalkan konsep keindahan bermasyarakat yang hidup berbilang bangsa dan agama dalam persekitaran harmoni.

“Selain itu ia juga untuk merai dan menyantuni masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di samping menangkis salah tanggapan bahawa jika memeluk agama Islam itu sebagai masuk Melayu.

“Selain itu, ia juga bertujuan menunjukkan bahawa mana-mana adat sesuatu bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diterima dalam Islam.

“Sambutan dibuat dalam bentuk santai dan harmoni yang melibatkan Islam dan bukan Islam. Ini menggambarkan Islam tidak membenci atau memusuhi bukan Islam sekaligus menyangkal salah faham dan dakwaan bahawa Islam agama yang menganjurkan keganasan,” kata Jakim.

Program yang menyaksikan kehadiran kira-kira 300 orang ramai berbilang kaum, dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan seperti orkestra Cina, tarian singa, pameran fesyen kanak-kanak (gambar, atas) dan tarian topeng Sichuan. – Malaysiakini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here