Home » Langit Terbuka » Rundingan damai Afghanistan, Taliban bermula

Rundingan damai Afghanistan, Taliban bermula

Semasa berucap pada majlis perasmian rundingan damai, pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar mengulangi mesej bahawa Afghanistan harus ditadbir mengikut undang-undang Islam. - Foto Malaysia Gazette

DOHA – Rundingan damai antara Taliban dan kerajaan Afghanistan bermula pada 13 September, dengan mencari gencatan senjata yang berkekalan, satu daripada banyak cabaran utama bagi perbincangan itu.

Acara pembukaan yang lancar di ibu kota, Qatar, Doha semalam menyaksikan kerajaan Afghanistan dan sekutunya termasuk Amerika Syarikat (AS), meminta gencatan senjata.

Bagaimanapun, Taliban yang melakukan perang gerila menentang kedua-duanya sejak mereka hilang kuasa pada 2001, tidak menyebut mengenai gencatan senjata ketika datang ke meja rundingan.

Ketua proses keamanan bagi kerajaan Afghanistan memaklumkan kepada AFP yang Taliban akan menawarkan gencatan senjata sebagai pertukaran kepada pembebasan lebih ramai pejuang mereka yang dipenjarakan.

“Ini mungkin menjadi satu daripada idea atau tuntutan mereka,” kata Abdullah Abdullah, Pengerusi Majlis Tinggi bagi Perdamaian Kebangsaan Afghanistan.

Rundingan akan menjadi sukar dan huru-hara, dengan perwakilan memberi amaran ketika acara pembukaan dan ia bermula walaupun keganasan yang membawa kematian terus melanda Afghanistan.

“Kami pastinya akan berdepan banyak cabaran dalam rundingan selama beberapa hari, minggu dan bulan akan datang,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang meminta pihak yang terbabit “merebut peluang ini” bagi menjamin keamanan.

Semasa berucap pada majlis perasmian itu, pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar mengulangi mesej pemberontak bahawa Afghanistan harus ditadbir mengikut undang-undang Islam.

Perjanjian damai yang komprehensif boleh memakan masa bertahun-tahun dan bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak untuk menyesuaikan visi persaingan mereka bagi Afghanistan dan sejauh mana mereka boleh bersetuju untuk berkongsi kuasa.

Pemerintahan Presiden Ashraf Ghani ingin mengekalkan status quo sebuah republik berperlembagaan yang disokong Barat, yang mengekalkan banyak hak, termasuk kebebasan lebih luas bagi wanita.-AFP

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *