Home » Langit Terbuka » Saman tiada papan tanda larangan merokok mulai 1 Januari 2020

Saman tiada papan tanda larangan merokok mulai 1 Januari 2020

Timbalan Menteri Kesihatan berkata, sebanyak 26,357 premis dikesan belum meletakkan papan tanda larangan merokok.

SEREMBAN – Pengusaha restoran dan kedai makan yang gagal meletakkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing, akan dikenakan tindakan saman mulai 1 Januari 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya sudah memeriksa 111,042 premis makanan di seluruh negara setakat ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 26,357 premis dikesan belum meletakkan papan tanda larangan merokok.

Walaupun penguatkuasaan larangan merokok hanya bermula tahun hadapan, pemilik premis makanan digalak meletakkan papan tanda larangan berkenaan mulai sekarang,”.

“Di peringkat penguatkuasaan pendidikan ketika ini, pemilik premis yang gagal meletakkan papan tanda larangan merokok hanya diberikan amaran, tetapi mulai 1 Januari 2020 mereka akan terus disaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Oral Saintifik Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali, di sini.

Mengenai larangan penjualan rokok di premis makanan, beliau berkata, kementerian berkenaan masih di peringkat pertimbangan, namun sudah ada pengusaha yang secara sukarela tidak lagi menjual rokok.

“Ia satu inisiatif yang baik daripada pengusaha dan diharap semua premis makanan mengambil langkah sama,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee berkata, kementeriannya belum menerima permohonan baharu daripada Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) untuk lesen beroperasi.

“Saya difahamkan pihak terbabit akan membuat permohonan baharu sebaik isu tanah selesai dan sebaik terima permohonan itu, kita akan beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Februari lalu, Kementerian Kesihatan menutup operasi PPM setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis berkenaan mempunyai lesen untuk beroperasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, lesen PPM dibatalkan pada 14 Disember 2018. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *