KUALA TERENGGANU – Aidiladha Ini bukan sahaja diisi dengan ibadah korban oleh YADIM, tetapi juga dengan aktiviti menyantuni golongan yang memerlukan.
Pada 28 Mei, Sukarelawan YADIM (SAY) Losong telah menggerakkan Program Khidmat Bakti dengan menyampaikan bantuan katil kepada seorang pesakit di Kampung Losong Atap Zin.
Katil yang disumbangkan merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Losong Atap Zin serta syarikat Kori Keropok Lekor Losong 2K2L, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Penerima yang disantuni, Puan Nor Azizah Mohd Nor, 53 dahulunya merupakan seorang peniaga berasal dari kampung berkenaan, namun kini diuji dengan ketumbuhan dalam kepala yang menyukarkan kehidupan beliau.
Hadir mewakili YADIM Negeri Terengganu ialah Encik Syamsul Firdaus Shamsuddin selaku penyelaras program bagi memastikan proses penyerahan bantuan berjalan lancar. Terlibat sama ialah Pengerusi SAY Losong merangkap Pengerusi JPKKP Kampung Losong Atap Zin, Encik Ahmad Bukhari Ayob.
Program seumpama ini diharap dapat terus menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat demi melahirkan komuniti yang prihatin dan penyayang.



KOMEN