KUALA LANGAT – Masjid bukan sekadar tempat beribadah, malah boleh menjadi pusat yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti kebajikan, ilmu dan kemasyarakatan.
Pendekatan ini dibawa dalam program Sehari Bersama Komuniti MADANI (SEBATI MADANI) di Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu Pulau Carey, Kuala Langat pada 31 Oktober hingga 1 November.
Program ini menghimpunkan penduduk Kampung Melayu Pulau Carey serta masyarakat daripada lima kampung Orang Asli di sekitar pulau berkenaan. Pelbagai aktiviti disusun bagi memberi ruang kepada penduduk setempat untuk bersama-sama menyertai program, berkenalan dan melakukan aktiviti secara bergotong-royong.
Antara pengisian yang diadakan termasuk Konvoi Rahmah, ziarah kasih, Forum MADANI, gotong-royong membersihkan masjid, sukan rakyat, liga futsal serta ceramah kesihatan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Langat dan ReproAlert (i-Medik).
Program turut memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan apabila seramai 100 penduduk terpilih menerima sumbangan kebajikan. Penyampaian disempurnakan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, yang merasmikan program pada 1 November.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak masjid atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan usaha dakwah di Kuala Langat. Beliau turut mengajak masyarakat mengambil peluang menyertai Program Dakwah Negara 2026 yang sedang dilaksanakan YADIM.
Hadir sama Pengarah YADIM Negeri Selangor, Encik Mohd Fitri Aziz Mohd Yusof; Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Datuk Zurihan Haji Yusop; Nazir Masjid Darul Tahsis, Ustaz Mohd Hazizi Kusni dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Melayu Pulau Carey, Puan Siti Nur Ain Azman, Ketua Koordinator Sukarelawan YADIM Kuala Langat, Haji Hasmawi Mahidin selain warga YADIM Negeri Selangor serta rakan kerjasama program.
Menerusi SEBATI MADANI, YADIM terus membawa aktiviti dakwah keluar daripada pendekatan yang hanya tertumpu kepada ceramah dan kuliah, sebaliknya turun padang mendekati masyarakat melalui kerja kebajikan, aktiviti bersama dan hubungan dengan komuniti setempat.
Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan semangat MADANI Membantu yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan pelaksanaan.



KOMEN