Home » Langit Terbuka » Sedia bantu Sajat, golongan LGBT untuk berubah

Sedia bantu Sajat, golongan LGBT untuk berubah

KUALA BERANG – Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kembali ke pangkal jalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan sekiranya mereka bertaubat dan kembali kepada fitrah.

Menurutnya, sebagai kementerian bertanggungjawab, pihaknya bersedia memberi kaunseling dan bimbingan bukan sahaja kepada kepada Nur Sajat, tetapi golongan LGBT yang lain.

“Dalam isu usahawan terbabit, ia sudah menjadi satu keputusan daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.null

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Darul Ansar dan bantuan kepada pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas susulan pandemik Covid-19, di sini, pada 26 September.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan.

Pada masa sama, Idris turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terjebak dalam golongan LGBT dan segera kembali ke fitrah jika sudah terjerumus.

“Kita mengharapkan semua di kalangan mereka ini, insya-Allah kalau yang belum terlibat, jangan terlibat, kalau sudah terlibat kembali kepada fitrah asal mereka.

“Kerana mereka orang cantik, orang elok, orang baik (dan) daripada segi dosa mungkin dosa saya lebih banyak.

“(Di pihak kementerian), insya-Allah kalau dia sudi datang kepada kita, kalau dia sudah mengaku salah dan sebagainya, kalau dia nak balik kepada fitrah, tidak ada masalah, kita terima dan bantu kerana kita bukan mahu menghukum, tetapi lebih kepada mendidiknya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis dalam proses memohon untuk mengekstradisi usahawan terbabit dari pihak berkuasa Thailand.

Ahli perniagaan itu diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *