Home » Langit Terbuka » Sedia bekerjasama selesai isu pemakaian patuh Syariah

Sedia bekerjasama selesai isu pemakaian patuh Syariah

Menteri Belia dan Sukan, yang mempertahankan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan pemakaian pakaian sukan patuh syariah, berharap kerajaan negeri Terengganu turut melakukan perbincangan bersama atlet - Gambar Hiasan Foto NSTP

BENTONG – Kementerian Belia dan Sukan sedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi membincangkan isu pemakaian menutup aurat dalam kalangan atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan itu, berharap kerajaan negeri turut melakukan perbincangan bersama atlet.

“Tiada masalah kalau hendak menggalakkan tetapi dalam bab sukan khususnya beberapa jenis sukan seperti gimrama, terjunan dan berenang, ini merupakan sukan yang ada citarasanya sendiri.

“Apabila isu itu keluar, kebanyakan atlet dan ibu bapa menghubungi kementerian mengekspresikan pandangan mereka dan saya terpaksa membela kerana itu adalah tanggungjawab Menteri Belia dan Sukan untuk menjaga kebajikan atlet dalam semua kategori,” katanya pada majlis perasmian Cruyff Court Felda Lurah Bilut di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata, mulai tahun depan para pemain bola sepak yang mewakili negeri dalam pelbagai pasukan akan mengenakan pakaian menutup aurat selaras dengan pelaksanaan pematuhan syariah dalam berpakaian.

Katanya, pengenaan pakaian sukan patuh syariah itu hanya digalakkan kepada pemain bola sepak beragama Islam manakala tiada paksaan kepada mereka yang bukan Islam.- Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *