Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya, Abdullah al-Liwati at-Tanji. Dilahirkan di Tangiers, Moroko dalam tahun 702H/1304M. Ketika berumur 22 tahun pergi ke Mekah menunaikan haji dan mempelajari hal ehwal agama Islam.
Sejak dari sini timbul perasaan yang menyala-nyala untuk mendalami pengetahuannya dan mengkaji ilmu alam dengan cara melakukan pengembaraan. Dia kemudian terkenal sebagai seorang pengembara Islam yang termasyhur. Selama 28 tahun ia telah menghabiskan masanya di seluruh wilayah Islam di Asia Barat, Asia, Timur Jauh, Asia Tenggara dan Atrika.
Keistimewaan Ibnu Batutah ialah ketelitiannya membuat catatan dan penyelidikan setiap tempat yang ia singgah dan ia lalu dalam perjalanannya. Dia mencatatkan bukan saja keadaan di negeri-negeri yang ia sampai, tetapi meliputi peristiwa-peristiwa yang berlaku di negeri itu. Beliau sampai di India di zaman pemerintahan Muhammad Tughlaq dalam tahun 1333M. Tinggal di sana selama lapan tahun. Setelah mempelajari kebudayaan dan kepercayaan orang-orang India beliau pun meneruskan pengembaraannya ke negeri China, kemudian kepulauan Melayu, Maldif, Sri Lanka dan Teluk Parsi.
Pada tahun 750H/1349M, beliau memulakan pengembaraannya di Afrika pula. Beliau melawat Mesir, Tunis, Sudan dan lain-lain negeri. Pada tahun 1355M beliau mula menyusun buku pengembaraannya yang diberi nama Tuhfatun-Nazar Fi Gharaibul-Amsar Wa-Ajaibul-Asfar. Buku ini kemudiannya dihadiahkan kepada Sultan Parsi. Melalui buku inilah orang Barat mula mengetahui maklumat-maklumat geografi dan sejarah sesuatu tempat.
– Kamus Pengetahuan Islam terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia



KOMEN