Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ‘Street Raya’ 2019 yang merupakan program julung kali diadakan itu mendapat pengiktifaran Malaysia Book of Records (MBR) sebagai program rumah terbuka terbesar diadakan di negara ini.

Mujahid berkata, acara itu disertai oleh masjid-masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan (WP).

“Sebanyak 75 buah masjid dan 10 buah surau Jumaat mengambil bahagian termasuk dari Putrajaya dan Labuan dengan mengetengahkan konsep masjid sebagai tempat menyantuni orang awam.

“Kita menyasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung namun jumlah keseluruhannya lebih daripada itu,” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat di WP 2019M/1440H.

Ujarnya, pelbagai menu dan juadah yang disediakan termasuk 70 ekor kambing, 50,000 cucuk sate, 200 ekor ayam pusing, 6,000 bungkus nasi Arab, nasi lemak dan nasi briyani, 2,000 kilogram (kg) buah durian dan buah-buahan yang lain.

“Terdapat juga 7,000 pek pelbagai makanan antaranya mi kari; char kuey teow; roti canai; murtabak; 2,500 ketul ayam KFC; 2,500 keping Pizza Hut; 1,000 ayam Ayamas dan pelbagai juadah lain,” katanya.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu mendapat kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – Utusan Malaysia