Home » Langit Terbuka » Sultan Nazrin titah rakyat adakan solat hajat, bacaan Qunut Nazilah Jumaat ini

Sultan Nazrin titah rakyat adakan solat hajat, bacaan Qunut Nazilah Jumaat ini

Sultan Nazrin turut menitipkan nasihat kepada rakyat jelata yang sedang melakukan persiapan menyambut Aidilfitri agar segala persiapan disesuaikan dengan norma baharu. - Foto Bernama

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan untuk semua masjid dan surau di Perak mengadakan solat hajat yang disertai bacaan doa Qunut Nazilah selepas mendirikan Solat Jumaat pada Jumaat minggu ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, berkata, titah perkenan itu dizahirkan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar segenap rakyat diberikan perlindungan dan keselamatan daripada ancaman wabak Covid-19 yang angka jangkitan masih menunjukkan angka besar.

“Sultan Nazrin menzahirkan titah agar rakyat memohon sebaik-baik dan sebesar-besar pertolongan daripada Allah SWT yang dengan itu baginda menitahkan agar ia (solat hajat dan bacaan qunut nazilah) diadakan selepas solat Jumaat pada 25 Ramadan 1422 Hijrah bersamaan 7 Mei 2021.

“Baginda prihatin dan menzahirkan kebimbangan berikutan bilangan kes pesakit Covid-19 yang semakin meningkat dengan angka yang besar (sejak kebelakangan ini),” katanya dalam kenyataan pada 4 Mei.

Katanya, Sultan Nazrin turut menitipkan nasihat kepada rakyat jelata yang sedang melakukan persiapan menyambut Aidilfitri agar segala persiapan disesuaikan dengan norma baharu khususnya dengan menjauhkan diri dari berkunjung ke tempat perhimpunan ramai.

“Serta tanpa kompromi, (hendaklah) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Dalam perkembangan sama Mohd Yusop, berkata Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas di barisan hadapan terutamanya doktor, jururawat dan kakitangan sokongan kesihatan serta perubatan yang menghadapi tekanan di samping menghadapi risiko besar ancaman Covid-19.

“Di samping usaha-usaha kesihatan dan perubatan yang dilakukan, Sultan Nazrin menzahirkan titah agar rakyat memohon sebaik-baik dan sebesar-besar pertolongan daripada Allah SWT,” katanya. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *