Home » Langit Terbuka » Surau lebuh raya PLUS dibuka kecuali NS

Surau lebuh raya PLUS dibuka kecuali NS

PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan berkenaan mematuhi prosedur operasi standard keselamatan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan. - Foto BebasNews

KUALA LUMPUR – Surau yang disediakan untuk kemudahan pengguna di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dibuka, mulai 13 November.

Pembukaan semula surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol itu selari keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan serta negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, menjelaskan pengguna lebuh raya kini boleh menunaikan solat di surau yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor.

Katanya, surau di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) seperti di R&R Perasing, Paka, Ajil dan hentian sebelah serta plaza tol lebuh raya berkenaan turut dibuka semula.

“Bagaimanapun, surau yang terletak di R&R, hentian sebelah dan plaza tol di Negeri Sembilan masih ditutup kepada orang ramai sehingga diberitahu kelak.

“Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Bergantung pada luas dan ukuran setiap surau, Zakaria berkata, poster pemberitahuan mengenai had jumlah pengguna diletakkan untuk rujukan pengguna.

Selain itu, katanya, pengguna perlu membuat pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual untuk tujuan pengesanan kontak sebelum menggunakan kemudahan berkenaan.

“Pelanggan juga dinasihatkan membawa kelengkapan untuk bersolat seperti telekung dan sejadah sendiri bagi memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat kerana kelengkapan itu tidak disediakan ketika ini.

“Penanda penjarakan fizikal turut disediakan di setiap ruangan solat di surau serta di kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

“Pada masa sama, PLUS menasihatkan orang ramai segera meninggalkan surau selepas menunaikan solat untuk mengurangkan kontak fizikal di lokasi.

“PLUS turut memastikan semua surau dan kemudahan awam lain sentiasa dinyah cemar secara berjadual,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *