Home » Langit Terbuka » Syor hukuman penjara 20 tahun kepada pemandu mabuk

Syor hukuman penjara 20 tahun kepada pemandu mabuk

Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dicadang dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. - Foto PanduLaju.com

PUTRAJAYA – Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.

“Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), di sini.

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Loke dilaporkan berkata, ia melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.

Pada masa ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *